PETALING JAYA – Pasukan petugas Kesihatan Daerah Sri Petaling hari ini meneruskan proses ujian saringan dan pengambilan sampel daripada penduduk di beberapa lokasi Old Town di sini bermula 10 pagi tadi.
Terdahulu pasukan lebih 40 orang telah mengadakan perbincangan dan taklimat untuk memulakan proses saringan pada hari ini melibatkan lebih 2,900 penduduk yang dilarang keluar ekoran PKPD di beberapa lokasi antaranya Jalan Othman dan Jalan Selangor sejak 1 pagi 10 Mei lalu.
Pasukan itu berkumpul di Dewan A Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chen Moh seawal 7.30 pagi sebelum terlibat taklimat dan proses pemakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE).
Turut kelihatan anggota dan pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (APM), polis dan tentera mengawal ketat pintu masuk ke sekolah tersebut yang kini menjadi salah sebuah tempat proses saringan dan pengambilan sampel Covid-19 daripada penduduk setempat.
Mereka yang berpakaian lengkap PPE menerima beberapa penduduk terawal bermula 10.15 pagi memulakan pendaftaran maklumat peribadi di Dewan A sekolah terbabit sebelum mereka dibawa ke khemah khas untuk ujian pengambilan sampel dan saringan virus.
Justeru untuk memudahkan penduduk yang berurusan lebih 100 kerusi disusun di dewan berkenaan membolehkan orang yang hadir berehat sementara menunggu giliran mereka untuk menjalani ujian saringan.
Bermula 10.30 pagi tadi penduduk setempat dari kanak-kanak hingga dewasa dan warga tua di lokasi PKPD yang mana ada diantaranya terdiri daripada pekerja asing warga Bangladesh, Pakistan dan India muncul untuk menjalani ujian saringan dan pengambilan sampel Covid-19.
Ada sebahagian anggota kesihatan dan penguat kuasa membuat hebahan sebagai tindakan meminta penduduk keluar secara berfasa untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Justeru anggota Rela juga mengiringi penduduk yang keluar untuk menjalani saringan sebagai langkah keselamatan selain sebuah ambulans untuk tindakan segera sekiranya terdapat kes positif yang perlu dirujuk ke hospital.
Malahan lebih 20 orang pekerja Restoran Nasi Kandar Raikhan Jalan Othman, Old Town PJ selain warga lain yang bekerja di premis dalam kawasan PKPD turut menjalani saringan Covid-19.
Sementara itu, helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia turut memulakan pemantauan dari udara di lokasi PKPD PJ Oldtown pagi ini.
Jabatan Penerangan dan APM menggunakan pasukan konti membuat hebahan meminta orang ramai di kawasan PJ Oldtown yang diwartakan sebagai PKPD bermula semalam hingga 28 Mei ini supaya duduk di dalam rumah.
“Ini pengumuman penting, penduduk yang terlibat PKPD di kawasan perumahan sekitar jangan keluar dari rumah anda dan dikehendaki berada di dalam rumah..untuk sebrang bantuan sila hubungi Bilik Gerakan di talian 013-266 6165.
“Tunggu sehingga pegawai kesihatan datang ke rumah anda yang dikehendaki mengisi borang butiran maklumat sebelum boleh singgah ke mana-mana pusat saringan untuk menjalani ujian Covid-19.
“Kita ada membuka tiga pusat saringan dan pengambilan sampel Covid-19 iaitu antaranya di SJKC Chen Poh PJ dan satu lagi di bersebelahan Pasar Besar Jalan Othman pekan OldTown PJ,” hebah anggota pasukan bertugas di lokasi tersebut.-MalaysiaGazette