Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR- Pejabat Menteri Kesihatan menafikan Datuk Seri Dr Adham Baba  mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak secara Perolehan Darurat bagi pelaksaaan Lab Mitigaton Solutin For Covid-19.

Pejabat itu dalam satu kenyataan di sini berkata, tuduhan yang buat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berniat jahat dan bersifat pembunuhan karakter.

Menurut kenyataan itu lagi, Dr Adham tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit.

“Perlu ditegaskan menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai kementerian agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

“Semua urusan pembelian dan perolehan oleh Kementerian Kesihatan sepanjang perang menentang Covid-19 ini dilakukan mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian dan pegawai yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Katanya, NGO berkenaan telah membuat provokasi umum tentang kemungkinan Dr Adham mempunyai kepentingan dalam KJSB berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad yang pernah menjadi pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB.

Dakwaan tersebut, kata Pejabat Menteri Kesihatan itu, jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap menteri kerana Iskandar Mirza sudah lama meninggalkan SANSB.

“Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan Iskandar Mirza menyertai SANSB dari 18 Julai 2007 hingga 30 Januari 2015 sementara Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30 Januari 2015.

“Sungguhpun begitu, menteri mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang sedang berjalan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Adalah penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan pembelian oleh Kementerian Kesihatan menyerahkan bukti dan dokumen kepada SPRM, bukannya melempar tuduhan rambang sehingga menimbulkan fitnah dan gosip tidak benar,” katanya.

Baru baru ini Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mendakwa KJSB mendapat kontrak secara perolehan darurat bagi pelaksanaan Lab Mitigation Solution For Covid-19 terbabit.

NGO berkenaan, mereka mendakwa dua daripada anggota lembaga pengarah syarikat KJSB merupakan orang sama dalam syarikat pemegang saham badan yang mengendalikan rangkaian klinik Dr Adham. – MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Mula la tu nak buat fitnah..nak buat pembunuhan karakter..takde keje lain ke..ingat la fitnah tu lagi berat dosanye dari membunuh

Comments are closed.