Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan memberi kata putus kedudukan sektor yang ditangguhkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPDB) sama ada akan dibenarkan beroperasi atau sebaliknya hari ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sektor itu melibatkan penjaja, kedai makan dan aktiviti rekreasi yang belum ada kata putus oleh kerajaan Persekutuan berhubung operasinya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

“Kita akan putuskan paling lewat hari ini, selepas saya berbincang dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan kata putus mereka.

“Sebenarnya, sektor yang ditangguhkan ini tidak banyak. Ia hanya melibatkan tiga bahagian sahaja, iaitu penjaja, kedai makan dan aktiviti rekreasi. Selepasnya, 90 peratus aktiviti sektor lain telah kita benarkan beroperasi sejak 4 Mei lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mengenai penularan wabak Covid-19 di pasar basah, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri akan berbincang dengan PBT dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk melihat sama ada perlukan garis panduan baharu atau mengetatkan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan syarikat pembinaan agar menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 bagi mengelak berlaku penularan jangkitan dari lokasi berkenaan. – MalaysiaGazette