KUALA LUMPUR – Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 32.73 juta pada suku tahun pertama tahun 2020, meningkat 0.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu (32.53 juta).

Jumlah penduduk ini merangkumi 29.62 juta orang (90.5%) warga negara dan 3.12 juta orang (9.5%) bukan warganegara, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada suku tahun pertama 2020, penduduk lelaki meningkat daripada 16.81 juta orang (suku tahun pertama 2020) kepada 16.90 juta orang sementara perempuan bertambah daripada 15.72 juta orang kepada 15.84 juta orang bagi tempoh yang sama.

Nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Menurutnya, Selangor kekal mencatatkan penduduk paling ramai pada suku tahun pertama 2020 dengan 6.57 juta manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penduduk terendah iaitu 99,600.

Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada suku tahun pertama 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku
tahun pertama 2019 kepada 7.53 juta.

Manakala, penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.74 juta (suku tahun pertama 2019) kepada 22.95 juta pada suku tahun pertama tahun ini.

Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) turut meningkat daripada 2.16 juta kepada 2.26 juta bagi tempoh yang sama.

Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk, katanya.

Mohd Uzir menambah, sebanyak 115,439 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun pertama 2020, menurun sebanyak 1.6 peratus berbanding suku tahun pertama 2019 (117,146).

Pada suku tahun pertama 2020, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 59,675 berbanding perempuan (55,764).

Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,023 kelahiran (19.1%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (417 kelahiran: 0.4%).

Sebanyak 43,226 kematian telah direkodkan bagi suku tahun pertama 2020, meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2019 (43,015).

Sejumlah 24,659 kematian adalah lelaki sementara 18,567 kematian adalah perempuan.

Bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,783 kematian (15.7%)
manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 51 kematian sahaja (0.1%). – MalaysiaGazette