Hishamuddin melihat botol cecair pembasmi kuman yang diterima dari kerajaan UAE diwakili Duta UAE ke Malaysia (kiri) dalam majlis penerimaan bantuan di Wisma Putra pagi tadi.Foto Ihsan: Wisma Putra

PUTRAJAYA – Wisma Putra hari ini menerima sumbangan peralatan perubatan berbentuk cecair pembasmi kuman daripada Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mewakili negara menerima bantuan yang dihulurkan oleh Kedutaan UAE dalam bentuk puluhan kotak yang mengandungi sebanyak 14,000 botoil sanitizer seberat tujuh tan.

Hishammuddin berkata, kesemua cecair pembasmi kuman berkenaan adalah hasil sumbangan kerajaan UAE itu akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan negara Covid-19.

“Saya hendak ambil peluang ini berterima kasih kepada UAE dan kepimpinan kerajaan itu atas sumbangan sanitizer. ia bukan satu angka kecil.

Duta Khas UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith (kiri) di majlis sumbangan peralatan perubatan oleh UAE kepada Wisma Putra dihadiri Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pagi tadi.Foto Ehsan: Wisma Putra.

“Kami menerima 14,000 botol sanitizer sekitar 7 tan daripada kerajaan UAE yang mana untuk menjayakan inisiatif Wisma Putra, Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES).

“Terima kasih Duta Khas UAE ke Malaysia Tuan Yang Terutama Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith serta barisan kepimpinan kerajaan UAE atas sumbangan ikhlas ini serta Raja Salman.

“Bantuan ini penting untuk kelurga Wisma Putra sebab segala peralatan perubatan ini akan disalurkan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) Covid-19 Wisma Putra di dalam negara serta di Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara,” katanya dalam ucapan ringkas selepas majlis ringkas penerimaan sumbangan yang turut dihadiri Khalid Ghanim.

Wakil Wisma Putra yang menerima bantuan itu adalah Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Dalam kenyataan berkaitan program yang sama, Hishammuddin juga menegaskan selain menyumbangkan peralatan perubatan melalui MDES, kerajaan UAE turut bermurah hati menyumbangkan pelbagai lagi bentuk peralatan perubatan kepada Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Wisma Putra.

Katanya, ia termasuklah Test Kits For Antigen yang telah diterima pada 30 Mac lalu selain peralatan tambahan dari Kerajaan UAE pada 27 April lalu iaitu sebanyak 20,000 unit RT PCR Test Kits, 37,000 unit IgC IgM Test Kits, sejumlah 20,000 unit Viral Transport Medium Swab dan satu unit Automated Extraction Machine yang kesemuanya telah diserahkan kepada KKM.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Yang Mulia Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan serta kepimpinan tertinggi Kerajaan UAE.

“Sesungguhnya, sumbangan ini membuktikan keakraban hubungan dua hala Malaysia-UAE yang telah terjalin sekian lama.

“Kerjasama dengan UAE hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi bentuk kerjasama yang dijalinkan Malaysia dengan rakan negara di seluruh dunia bagi menangani cabaran krisis Covid-19.

Bantuan perubatan sanitizer dari kerajaan UAE yang diterima Wisma Puyra oleh Ketua Setiausahanya Dato’ Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob di majlis ringkas pagi tadi.Foto Ehsan: Wisma Putra

“Ia bukan sahaja bertujuan memudahcara urusan rakyat kita yang terkandas di luar negara, tetapi juga bagi mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini,” ujarnya.

Hishammuddin juga bersyukur kerana sejak dilancarkan 30 Mac lalu, inisiatif MDES berkenaan telah mendapat sambutan serta penerimaan yang amat baik seperti yang dapat dilihat khususnya di laman sosial Wisma Putra yang mana petugas barisan hadapan Covid-19 Wisma Putra termasuk para perwakilan Malaysia di luar negara berkongsi peralatan perubatan yang telah mereka terima hasil inisiatif itu.

Secara keseluruhannya, kata beliau MDES bukan sahaja menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Khalid Ghanim selepas majlis simbolik penyerahan bantuan perubatan kerajaan UAE di Wisma Putra berkata, sumbangan amal berkenaan dipraktikkan kerajaan Raja Salman di serata dunia di lebih 46 negara termasuk Malaysia yang sentiasa didahulukan.

“Kami hulurkan sumbangan kepada barisan hadapan perubatan di Malaysia dan bangga menjalin hubungan diplomatik dua hala dengan begitu akrab dengan Malaysia selama ini dan mendoakan ia terus kukuh,” katanya. MalaysiaGazette