Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 terhadap warga asing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan wabak Covid-19 di PJ Old Town, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 12 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan mengesahkan hanya daerah Petaling yang masih dikategorikan sebagai zon merah di negeri Selangor, sejak semalam.

Data yang dikeluarkan CPRC menunjukkan Petaling kini menjadi satu-satunya zon merah di Selangor selepas Gombak bertukar semula menjadi zon kuning susulan kes positif Covid-19 di daerah itu kini pada paras 35 kes.

Gombak mengalami penurunan mendadak kes positif Covid-19 apabila 20 pesakit di daerah itu sembuh sepenuhnya pada Isnin.

Bagaimanapun, Petaling mencatatkan peningkatan dua kes positif Covid-19 dengan jumlah terkini sebanyak 61 kes.

Dengan perkembangan itu, zon merah kini berada pada paras lapan zon dengan empat daripadanya masih di Kuala Lumpur iaitu Mukim Ibu Kota (159 kes), Batu (104 kes), Kampung Baru (97 kes) dan Sri Petaling (45 kes).

Daerah Rembau, Negeri Sembilan pula masih kekal dengan 130 kes dan Kuching, Sarawak sebanyak 77 kes.

Satu lagi daerah di Negeri Sembilan iaitu Seremban juga didapati menerima pertambahan empat kes positif Covid-19 dengan jumlah terkini di daerah itu sebanyak 46 kes.

Dalam pada itu, Terengganu menghampiri zon hijau sepenuhnya apabila tiga daerah di negeri itu iaitu Besut, Dungun dan Kemaman mencatatkan hanya lapan kes positif Covid-19 di negeri itu.

Pahang masih mencatatkan 21 kes positif di daerah Bentong (3), Jerantut (1), Raub (3), Kuantan (8) dan Temerloh (6 kes).

Untuk rekod, sebanyak 121 daerah zon hijau di seluruh negara dengan sifar kes aktif.

Setakat ini, sebanyak 6,742 kes Covid-19 direkodkan di seluruh negara dengan 109 kematian. Sebanyak 5,223 orang pulih sementara 1,410 masih dirawat. – MalaysiaGazette