Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Malaysia merekodkan pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama 2020 terendah sejak suku ketiga 2009 iaitu penguncupan 1.1 peratus.

Pada suku terakhir 2019, Malaysia merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus.

Prestasi itu lemah itu disebabkan oleh langkah pengawalan penularan wabak Covid-19 yang dilaksanakan di seluruh dunia.

Di Malaysia sendiri, negara mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Selepas mengalami pertumbuhan kukuh pada dua bulan pertama 2020, aktiviti ekonomi mengalami kejatuhan teruk apabila PKP dilaksanakan.

“Kawalan pergerakan termasuk dalam dan luar negara, menghadkan waktu operasi dan bekerja serta mewajibkan penjarakan sosial telah memberi kesan teruk terhadap aktiviti ekonomi.

“Sektor pengeluaran pula hanya terhad kepada penghasilan barangan dan perkhidmatan keperluan serta rantaian bekalan sahaja.

“Sektor berorientasikan buruh dan pelanggan juga terjejas teruk,” kata Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam suku pertama 2020 prestasi lemah dicatatkan sektor perkhidmatan (3.1 peratus); pembuatan (1.5 peratus) manakala sektor-sektor lain mengalami pertumbuhan negatif.

Inflasi suku pertama 2020 kekal sederhana pada kadar 0.9 peratus disumbang terutamanya oleh kurangnya impak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kejatuhan harga.

Inflasi teras sederhana kepada 1.3 peratus.- MalaysiaGazette