KUALA LUMPUR – Selepas dua bulan ditutup, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini kembali beroperasi dengan beberapa langkah keselamatan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengelakkan penyebaran Covid-19.

Menurut buletin SIC, litar berkenaan dibuka semula sejak semalam untuk sesi latihan persendirian dengan tidak lebih daripada 10 peserta dibenarkan dalam satu sesi.

SIC berkata untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan, pelumba, pasukan, rakan kongsi dan peminatnya, beberapa langkah keselamatan telah ditetapkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antaranya, pelawat perlu mendaftar di kawasan yang ditentukan sebelum memasuki premis, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk dan penjarakan sosial satu meter.

“Premis kami telah dibersihkan dan disanitasi untuk memastikan persekitaran yang selamat dan bersih bagi pelanggan kami. Sentiasa gunakan cecair pembasmi kuman dan penutup mulut dan hidung yang disediakan oleh SIC, basuh tangan anda dengan kerap dan mengamalkan kebersihan yang baik pada setiap masa,” menurut SIC.

Dengan pembukaan semula litar itu, SIC berharap beberapa aksi perlumbaan permotoran dapat diadakan tidak lama lagi.- BERNAMA