Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Datuk Ramli Haji Din bercakap pada sidang media menunjukkan gambar dadah yang berjaya ditumpaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid- 19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19 tidak menghalang sindiket dadah di negara ini terus aktif menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Malah dalam tempoh empat hari,antara 9 hingga 12 Mei 2020, sebanyak sembilan serbuan dadah dilakukan oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, hasil serbuan itu, pihaknya telah merampas dadah bernilai RM12,042,174 dan menyita barangan berjumlah RM458,335 dengan 18 ahli sindiket ditahan.

“Serbuan-serbuan ini juga turut mendapat kerjasama Jabatan Narkotik Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, dan Johor.

“Melalui serbuan-serbuan ini, kita merampas sejumlah dadah iaitu serbuk ekstasi 40.45 kilogram, 34.23 kilogram pil yaba atau 312,098 biji keseluruhan.

“Sebanyak 24.6 kilogram dadah jenis ephedrin, 10.7 kilogram ekstasi atau 27,455 pil serta 7.40.70 gram dadah jenis syabu.

“Selain itu kita juga merampas senjata api iaitu sepucuk pistol colt automatik dan kelopak pistol berisi sembilan butir peluru 9MM, juga sebuah makmal memproses dadah turut disita,” katanya pada sidang media Bukit Aman hari ini.

Antara dadah yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid- 19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2020

Ramli berkata, seramai 18 ahli sindiket yang ditahan, termasuk dalang, turut membabitkan empat warga Thailand.

Tambah beliau, lima orang menpunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah manakala 10 orang positif dadah.

Menurut Ramli, kebanyakan dadah yang dirampas itu adalah untuk diedarkan di pasaran tempatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nampak gayanya semasa PKPB ini mereka seboleh bolehnya mau push keluar semua barang haram nih setelah tertangguh semasa PKP.. harap harap pihak berkuasa kita aware tentang ini..

Comments are closed.