Antara makanan yang ditinggalkan peniaga pada hari ke-42 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Harian Selayang, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 28 APRIL 2020

MASYARAKAT mula membanjiri kawasan tumpuan perniagaan atas tuntutan pekerjaan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

Kehidupan selepas PKPB pula pasti mewujudkan satu bentuk norma kehidupan baharu untuk diamalkan masyarakat.

Norma kehidupan baharu perlu dilalui dalam tempoh lapan sehingga 12 bulan atau sehingga terhasilnya vaksin Covid-19 yang berkesan menangani pandemik itu. Perkara ini dapat didefinisikan secara umum menerusi amalan kerap membasuh tangan, penjarakan sosial sekurang-kuragnya satu meter dan penggunaan penutup hidung serta mulut secara wajib.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa semua pihak dalam negara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kekal berkuatkuasa menerusi PKPB.

PKPB menjadi titik tolak kepada keberhasilan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sebelum ini. Kejayaan Malaysia dalam menangani pandemik Covid-19 mendapat liputan memberangsangkan seluruh dunia dan PKPB merupakan satu manifestasi kepada penjagaan kendiri menerusi konsep ‘kitajagakita’.

Susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan itu, wujud senario masyarakat negara ini untuk mencuba pelbagai menu masakan baru dan penyediaan juadah secara kerap mengikut kehendak isi rumah.

Hal ini mewujudkan pembelian stok makanan melebihi keperluan, yang dibimbangi tidak mengambil kira faktor tarikh luput dan tidak tahan lama.

Malah, satu kumpulan Facebook iaitu Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official yang wujud atas faktor hiburan berjaya menarik 1.8 juta pengikut. Situasi ini dikhuatiri mendorong kepada amalan penyediaan makanan kurang sihat, yang sengaja dihasilkan secara tidak sempurna oleh segelintir demi meraih tular.

Hal ini jika tidak ditangani secara berhikmah akan menjejaskan jaminan dapatan makanan negara. Sekiranya masyarakat tidak mengamalkan sikap berpada-pada dalam penyediaan makanan dan memasak dalam kuantiti yang melebihi keperluan, ia akan menyumbang kepada lambakan pembaziran makanan.

Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebelum pelaksanaan PKP menunjukkan terdapat 16,668 tan sisa makanan setiap hari dan penghasilan sisa isi rumah terutamanya sisa makanan dijangka meningkat dengan drastik sepanjang PKP.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Marimuthu Nadason berkata, berdasarkan kajian umum, sisa makanan ketara pada minggu pertama PKP tetapi mendapati penghayatan masyarakat terhadap nilai makanan semakin meningkat yang merekodkan pengurangan sisa.

Situasi itu juga didorong kuat dengan ketiadaan bazar Ramadan secara fizikal sebagai langkah proaktif membendung penularan pandemik Covid-19. Perkara ini mampu mengawal pembaziran makanan yang seringkali naik mendadak lebih dua kali ganda setiap Ramadan.

Pengenalan bazar Ramadan yang julung kalinya dilakukan secara atas talian menerusi WhatsApp, TelegramFacebook, dan aplikasi khas Media Prima secara tidak langsung dapat meminimumkan jumlah sisa makanan. Platform ini dilihat terkawal kerana pembelian dilakukan mengikut keperluan sewajarnya.

Fasa PKPB memberi kelonggaran tertentu kepada syarikat pengusaha makanan untuk beroperasi secara hidangan dengan bersyarat. Namun kebanyakannya kekal menyediakan perkhidmatan makanan secara bawa balik dan penghantaran sebagai langkah bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Inisiatif itu mendorong kepada pengurangan kutipan sisa keseluruhan secara drastik. SOP yang ketat ketika beberapa siri PKP telah menyumbang kepada penurunan sisa pepejal di semua 12 kawasan pihak berkuasa tempatan Selangor yang diuruskan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Menurut syarikat pengurusan sisa itu, sebanyak 34,000 tan metrik sisa pepejal dikutip dalam masa seminggu sebelum PKP, dan menurun kepada 31,400 tan metrik dan 29,000 tan metrik pada minggu seterusnya. Penurunan 7.9% direkodkan pada minggu pertama PKP dan 7.5% lagi pada minggu kedua PKP.

Pengurangan sisa ini berpunca dari pelbagai perusahaan yang menghentikan operasi kerana pelaksanaan PKP. Perkara ini menyumbang kepada pengurangan sisa.

Sepanjang tempoh PKP, sisa yang dihantar ke pusat pelupusan didapati berkurangan sehingga 40% di Selangor. Justeru, jumlah sisa makanan didapati menurun secara relatif, dengan berpandukan kepada langkah SOP dalam penyediaan makanan secara ketat yang dilaksanakan selama lebih sebulan.

Penurunan sisa makanan merupakan konsensus kepada kerajaan dalam menggubal akta berkaitan sisa makanan yang mendominasi penghasilan sisa negara.Sudah tiba masanya langkah yang lebih tegas diambil untuk memastikan keberhasilan pengurangan sisa makanan menuju norma baharu pasca PKPB.

Oleh: Dr Muhammad Heikal Ismail, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, UPM Serdang