MEMANDANGKAN pihak kerajaan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dan perniagaan dalam negara kita untuk mula beroperasi dan berkerja, pihak majikan dan pengurusan tempat kerja dalam sektor-sektor yang terlibat perlu memastikan dengan sedaya upaya mereka tahap kesihatan dan keselamatan semua pekerja mereka ditempat kerja adalah terjaga dan terjamin.
Para majikan serta pengurusan di tempat kerja di sektor-sektor yang terlibat perlu juga memastikan semua pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang jenis bahan-bahan pencemaran berbahaya serta sebarang jenis penyakit berjangkit yang sedang merebak pada masa kini sehingga boleh menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan diri pekerja mereka, keluarga mereka serta orang sekeliling dan ini termasuklah daripada terdedah dengan penularan penyakit berjangkit Novel Koronavirus ataupun lebih dikenali sebagai Covid-19 yang sedang melanda di beberapa buah negara dunia termasuklah di Malaysia pada ketika ini.
Pada 1 Mei yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa kerajaan akan membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dan perniagaan dalam negara kita untuk mula beroperasi dan bekerja namun tertakluk kepada beberapa syarat ketat. Perdana Menteri juga ada menyarankan majikan memberi kebenaran untuk pekerja mereka untuk bekerja dari rumah serta melaksanakan sistem kerja anjal sebagai kemudahan kepada pekerja untuk memberi tumpuan terhadap keluarga mereka serta menghindari diri pekerja daripada jangkitan Covid-19.
Namun saranan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri terhadap perkara ini perlu diambil serius oleh semua pihak majikan dan pengurusan tempat kerja dalam negara kita. Ianya tidak boleh dianggap sebagai satu pilihan sahaja, ianya perlu, mesti dan wajib dilaksanakan oleh mereka.
Lebih tiga juta orang telah dilaporkan dijangkiti dengan virus
Covid-19 terbabit dan lebih dua ratus ribu yang telah dilaporkan maut akibat daripada jangkitan virus Covid-19 berkenaan dari serata dunia.
Apa yang lebih menakutkan ramai pihak ialah tiadanya vaksin khusus pada masa kini yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah virus berbahaya ini dengan segera.
Memandangkan virus berkenaan adalah berbahaya, adalah menjadi tanggungjawab utama pihak majikan dan pengurusan tempat kerja di semua sektor untuk memastikan semua pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang risiko yang boleh menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan semua pekerja mereka.
Pihak majikan dan pengurusan tempat kerja perlu memastikan keadaan persekitaran ditempat kerja berada dalam keadaan yang sihat dan selamat untuk semua pekerja.
Pihak majikan dan pengurusan tempat kerja juga perlu mengambil kira tahap risiko yang perlu dihadapi oleh semua pekerja mereka yang perlu bergerak untuk ke tempat kerja dari rumah dan tahap risiko yang perlu dihadapi oleh pekerja yang terpaksa bergerak ke banyak lokasi bagi melaksanakan sebarang jenis tugasan yang diberikan oleh pihak majikan atau pengurusan tempat kerja.
Sekiranya keadaan persekitaran pada masa kini didapati tidak sihat dan selamat, maka pihak majikan dan pengurusan tempat kerja perlu mengambil sebarang langkah yang sewajarnya bagi melindungi semua pekerja mereka daripada terdedah dengan sebarang jenis masalah yang boleh membawa bahaya kepada diri semua pekerja mereka dan ini termasuklah dengan masalah jangkitan virus Covid-19 yang sedang berlaku pada masa kini.
Pihak majikan dan pengurusan tempat kerja perlu melaksanakan sepenuhnya sistem bekerja waktu kerja anjal ataupun waktu kerja secara fleksibel kepada semua pekerja
mereka.
Dengan melaksanakan sepenuhnya sistem waktu kerja anjal atau fleksibel ini ianya akan membenarkan para pekerja mereka melakukan atau melaksanakan tugasan tanpa perlu hadir secara fizikal ke tempat kerja.
Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini, banyak tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta cepat tanpa memerlukan banyak kerahan tenaga serta pembaziran masa dan tenaga untuk bergerak ke banyak lokasi.
Kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini memberi banyak kemudahan kepada para pekerja untuk menjalankan kerja mereka dari mana–mana tempat atau lokasi yang difikirkan sesuai dan selamat tanpa perlu keluar rumah atau bergerak ke banyak tempat.
Perlu diketahui, sistem waktu kerja anjal ataupun fleksibel ini tidak hanya meliputi kemudahan bekerja fleksibel dari sudut tempoh waktu bekerja sahaja malah ia juga boleh meliputi kemudahan fleksibel untuk bekerja di beberapa tempat atau lokasi yang berbeza tanpa perlu bergerak ke ataupun berada di satu tempat atau lokasi yang sama sahaja.- MalaysiaGazette
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)