Hafizal Hamad

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 memaksa pelbagai acara sukan tempatan mahupun antarabangsa terpaksa ditangguhkan.

Bola sepak, tenis, motoGP, formula satu mahupun temasya sukan berprestij lain di dunia terpaksa dibatalkan termasuklah babitkan siaran langsung menerusi pelbagai saluran sukan segenap benua.

Suasana suram dan muram arena sukan ini turut terkesan di hati personaliti Astro Arena, Hafizal Hamad.

 

Katanya, itulah hakikat sebenar yang harus diterima dan ditelan buat masa ini oleh peminat dan warga sukan meskipun dia sendiri tidak dapat menyembunyikan rasa rindu untuk kembali bertugas.

“Pastinya sukan bola sepak paling saya rindu untuk menganalisis kerana dikala permulaan saya dalam bidang pengacaraan, bola sepak adalah sukan pertama yang menjadi tugasan saya.

Saya mula menjadi pengulas dan pengacara sukan sejak  tahun 2005 lagi tapi kini hidup seperti ada yang tidak lengkap. Kadang-kadang apabila mula terasa ‘gian’ saya mula merapu dan mengulas seorang diri tak kira di dalam bilik air atau ketika memandu seperti sedang menyaksikan perlawanan bola sepak
sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, rindu untuk mengacara dan mengulas sedikit terubat apabila diberi tugasan untuk mengendalikan rancangan Bola@Mamak dari rumah.

“Sesuatu yang tidak pernah terlintas difikiran untuk bertugas dari rumah namun ia satu pengalaman yang menyeronokan. Segalanya harus dirancang dengan sendiri dan saya juga perlu mengikuti perkembangan bola sepak dengan penuh teliti agar segala topik menjadi bahan menarik untuk dibincangkan,” ujarnya dalam satu kenyataan Astro Arena hari ini.

Biarpun bola@mamak bersiaran secara dalam talian namun peminat yang mengikuti dan menonton hampir mencecah 120 ribu penonton pada satu episod.

Hafizal yang lebih dikenali dengan panggilan Gaban oleh rakan-rakan turut berterima kasih dengan pasukan penerbitan diketuai Slamet Sazly Yakub disamping otai bola@mamak yang turut sama membantu seperti Izahar Atan, Datuk Richard Scully dan Asmawi Bakiri.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada peminat bola@mamak yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan rancangan ini sehingga mencatat 18 juta tontonan pada musim lalu. Biarpun bersiaran secara dalam talian ketika ini saya berjanji akan sentiasa berusaha memberikan sajian terbaik buat anda semua,” katanya.

Beliau juga turut mengharapkan wabak Covid 19 ini segera berakhir dan kemeriahan sukan kembali seperti sediakala.-MalaysiaGazette