Guru, Umi Kalthum Mohd Adam bersama anak-anaknya melihat Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya melangkah keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah dalam penarafan sistem pendidikan di peringkat antarabangsa.

Pencapaian itu diperoleh menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau berasa agak lega dan gembira kerana hasil kerja keras para guru melaksanakan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah membawa negara keluar daripada kelompok itu.

“Pencapaian murid kita dalam ujian PISA bagi mata pelajaran Matematik telah meningkat daripada 421 mata pada tahun 2012 kepada 440 mata dalam tahun 2019.

“Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran Sains juga telah meningkat daripada 420 mata pada tahun 2012 kepada 438 mata pada tahun 2019. Tahniah saya ucapkan kepada guru-guru kita semua,” katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri, sempena Sambutan Hari Guru, hari ini.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pencapaian negara secara keseluruhannya masih berada di bawah paras pencapaian purata negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Katanya, perkara itu menuntut guru-guru supaya melipat-gandakan lagi usaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan
negara agar setanding dengan kualiti pendidikan di peringkat antarabangsa.

“Saya tahu usaha ini akan memakan masa. Kerana itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun, iaitu bermula dari tahun 2013 hingga 2025.

“Kita ada lima tahun lagi untuk melonjakkan kualiti pendidikan di negara kita supaya berada dalam kategori sepertiga teratas atau the top third dalam penarafan kualiti sistem pendidikan antarabangsa.

“Saya percaya dengan semangat, komitmen dan dedikasi para guru semua, kita akan berjaya mencapai matlamat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette