Guru, Umi Kalthum Mohd Adam bersama anak-anaknya melihat Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pelajar-pelajar yang akan menduduki empat peperiksaan besar akan diberikan keutamaan untuk ke sekolah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, empat peperiksaan itu ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, langkah itu adalah untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi.

“SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, sususan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain,” katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri, sempena Sambutan Hari Guru, yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Muhyiddin memberitahu, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini bahawa tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan
sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, proses pendigitalan dengan menggunakan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

Tambahnya, beliau percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan.

“Jadi, saya menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning yang merupakan kebiasaan baharu dalam bidang perguruan,” katanya. – MalaysiaGazette