Foto hiasan

PUTRAJAYA – Selangor mencatatkan bilangan kes positif Covid-19
yang tertinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dengan jumlah kes sebanyak 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia diikuti oleh Negeri Sembilan (48 kes), Johor (46 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28 kes) dan Sabah (26 kes).

“Sehingga 16 Mei 2020, terdapat 317 kes positif Covid-19 di kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

“Daripada jumlah tersebut, 112 kes (35 peratus) adalah di kalangan kanak-kanak berumur (4) tahun dan ke bawah, dan 22 kes (7 peratus) di kalangan bayi kurang daripada 1 tahun,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, setakat ini tiada kes kematian positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Justeru, Noor Hisham menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberi didikan kepada anak masing-masing agar mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggalakkan mereka memakai penutup mulut dan hidung di kawasan umum terutamanya kawasan yang sesak. – MalaysiaGazette