Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang sepakat menyokong Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR – Enam parti hari ini sepakat menyokong penubuhan Perikatan Nasional melalui kerjasama parti-parti politik dan untuk itu satu memorandum persefahaman (MoU) telah dirangka dengan memfokuskan kepada lima matlamat utama.

Parti-parti tersebut adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Perikatan Nasional dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, lima matlamat kerjasama yang dirangka menerusi MoU itu adalah:

  • Memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan serta kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

 

  • Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjaminkemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara;

 

  • Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63;

 

  • Memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara; dan

 

  • Memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat-menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi    kepentingan   negara   dalam   kerangka   Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

MoU lima matlamat itu dipersetujui oleh barisan pemimpin utama enam parti yang terdiri daripada:

YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin Presiden BERSATU

YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Pengerusi BN

YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang Presiden PAS

YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg Pengerusi GPS

Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili Presiden PBS

Datuk Dr. Jeffrey Gapari Kitingan Presiden STAR

— MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.