Seorang peniaga, Norafidah Md. Arifin menjalankan kerja-kerja pembersihan kedainya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan tamat pada 15 Mei lalu berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Patuhi ketetapan kerajaan untuk memastikan tidak ada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kedai perniagaan terus dapat beroperasi.

Itu yang ditekankan oleh pemilik studio gambar Norafidah Arifin di Selayang Baru.

Pemilik studio gambar Norafidah Arifin di Selayang Baru.

Sejak dua hari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu ditamatkan, banyak perubahan yang dirasainya khususnya pelanggan yang semakin berkurangan.

Bagaimanapun, beliau selesa dengan situasi itu kerana menyedari apa sahaja boleh berlaku kerana mengetahui ramai penghuni berdekatan telah melakukan saringan Covid-19.

“Saya tengok sekarang sunyi sikitlah mungkin ada orang yang masih takut-takut nak keluar. Kami peniaga agak perlahan jugalah operasi tapi boleh terima sebab kita pun takut sebelum ini waktu PKPD ada buat saringan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menjelangnya Hari Raya Aidilfitri seminggu sahaja lagi, menurut Norafidah, setiap tahun kelazimannya studio gambar adalah tumpuan untuk keluarga mengabadikan kenangan setahun sekali itu.

Sebagai persediaan, Norafidah hanya menghadkan sekeluarga sahaja berada di kedainya untuk bergambar buat suatu masa tertentu selain SOP penjarakan sosial yang perlu dipatuhi selain maklumat pelanggan.

“Kalau hari raya, keluarga nak ambil gambar kalau keluarga kecil bolehlah masuk dua tiga keluarga tetapi kalau keluarga besar satu kumpulan sahajalah. Itulah perancangan kakak.

“Jangan sampai kerajaan tidak bagi berniaga, sebab kita fokus untuk hari raya lagi untuk kedai gambar, memang hari raya kita harap boleh berniagalah,” tambahnya.

Seorang penduduk membeli barangan keperluan selepas pergerakan mereka tidak terbatas sejurus tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Bagi pemilik kedai hardware pula, Oli Badi, 45, turut merasakan perubahan di mana pelanggan kurang meskipun Selayang Baru sudah tidak lagi dikategorikan sebagai PKPD sejak dua hari yang lalu.

Pemilik kedai ‘hardware’ pula, Oli Badi, 45

Beliau tidak menafikan ia berpunca daripada kebimbangan penduduk sekitar untuk keluar rumah tanpa urusan penting.

“Rasa lega (selepas tamatnya PKPD) kedai pun boleh buka, boleh jalan sikit, ada pendapatan walaupun kurang,” tambahnya.

Untuk rekod, 25 April yang lalu Selayang Baru diisytiharkan sebagai kawasan PKPD ketujuh selepas kerajaan mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan Covid-19 di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Namun ia ditamatkan dua hari lalu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) sudah selesai melakukan ujian saringan ke atas semua penduduk di kawasan terbabit.- MalaysiaGazette