Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan kaedah penguatkuasaan terhadap ibu bapa yang melanggar arahan membawa kanak-kanak ke tempat awam seperti pasar raya mahupun hospital.

Bagaimanapun pada masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi berlembut dengan hanya memberikan nasihat mengenai perkara itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara yang akan diadakan esok.

“Sekarang ini akan berbincang bagi menguatkuasakan iaitu mengambil tindakan kepada ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke tempat awam ataupun hospital tanpa ada sebarang temujanji.

“Kita guna soft approach (pendekatan lembut)…tapi kalau tak berjaya kita akan gunakan kaedah penguatkuasaan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memaklumkan, KKM kini menggunakan kaedah untuk menasihatkan orang ramai yang pulang berhari raya untuk patuh kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan.

Ujar beliau, pihaknya bimbang ketidakpatuhan orang ramai dalam perkara itu akan meningkatkan kembali kes Covid-19 sebagaimana yang berlaku di negara lain ketika sambutan perayaan.

“Kalau kepatuhan itu dapat dilaksanakan dengan baik kita mungkin boleh kawal (penularan wabak).

“Tapi kalau kita tak ikut nasihat daripada KKM kita akan guna kaedah lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette