Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib menunjukkan barang-barang rampasan pada sidang media berkaitan tangkapan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2020

SHAH ALAM – Polis Shah Alam berjaya menumpaskan dua geng curi motorsikal, pecah rumah dan samun kedai serbaneka 24 jam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, kejayaan pertama adalah dengan tertangkapnya Geng Dedek yang terdiri daripada tiga lelaki berumur antara 20 hingga 30an dan seorang perempuan warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an di Padang Jawa.

“Pemantauan yang dijalankan sedar kehadiran sebuah kereta yang dinaik oleh tiga lelaki dan seorang perempuan dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir Suria Jaya.

“Semasa tangkapan, polis menjumpai barang-barang yang disyaki peralatan untuk melakukan jenayah curi motosikal dan pecah rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Pada Operasi Lejang Khas yang dilaksanakan berdasarkan aduan kecurian motosikal dalam tempoh PKP itu polis merampas kereta Perodua Myvi, dua buah motosikal Yamaha R15 dan sebuah motosikal KTM Duke.

Turut dirampas 10 utas jam tangan, lapan pasang kasut pelbagai jenama, dua topi keledar dan komputer bimbit.

Menurut Baharudin, tiga suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah dan kesemua suspek ditahan reman bermula tarikh tangkapan sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(A) / 457 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, suspek turut disiasat sama ada akan didiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Sementara itu, pasukan siasatan jenayah IPD Shah Alam turut menahan dua anggota Geng Yunus Pet yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka.

Kata Baharudin tangkapan dibuat pada 13 Mei lalu susulan aduan samun di premis kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam dan kedai makanann haiwan di Shah Alam dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, polis turut merampas kereta Proton Gen2, dua bilah pisau selain beberapa helai baju, seluar dan kasut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib bercakap pada sidang media berkaitan tangkapan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2020

Tambah beliau, suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di Klang Selatan dan Shah Alam.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

Menurut Baharudin, hasil siasatan mendapati geng tersebut turut melakukan pecah rumah kira-kira empat bulan lalu.

“Untuk makluman kes samun dan pecah rumah semasa PKP ini amat kurang sekali.

“Mereka pun tidak boleh keluar malam tengah malam, tidak boleh ke mana-mana. Kebetulan mereka mungkin terdesak untuk cari nafkah kononnya, tapi mereka terlupa pihak polis sentiasa beringat sentiasa ada pasukan cegah jenayah untuk menangkap mereka,” katanya. – MalaysiaGazette