Riza Aziz

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi bayangan kemungkinan Riza Shahriz Abdul Aziz akan menjadi saksi bagi kes berprofil tinggi itu kelak.

Riza merupakan anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang berhadapan dengan kes penyewelengan RM2.3 bilion dana 1MDB itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika perbicaraan hari ke-34 prosiding itu menyatakan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Kata Gopal Sri Ram, terdapat perkembangan ‘terbaharu’ yang mana Riza telah bersetuju untuk menjadi saksi bagi pendakwaan dan pihaknya membuat permohonan rasmi berhubung perkara tersebut.

“Kami hendak mohon supaya Riza Aziz dimasukkan dalam senarai saksi terbaru, kita akan membuat permohonan rasmi berhubung perkara ini.

“Kita mungkin ubah senarai saksi pendakwaan. Riza Aziz juga telah bersetuju untuk menjadi saksi bagi kes ini,” katanya.

Khamis lepas, Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Menurut Hakim Azman Ahmad keputusan itu dibuat hanya selepas pihak pendakwaan dan pembelaan mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Hasil daripada persetujuan representasi itu, Malaysia bakal menerima aset luar negara bernilai RM465.3 juta (AS$107.3 juta).

Namun selang sehari selepas keputusan itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam satu kenyataan menafikan beliau terbabit dalam isu melepaskan tanpa membebaskan Riza daripada pertuduhan.

Tommy turut menafikan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini bahawa beliau membuat pertimbangan dan memberikan persetujuan untuk melepas tanpa membebaskan Riza.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pula dilaporkan berkata Tommy secara prinsip bersetuju dengan cadangan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan berhubung pengubahan wang haram terhadap Riza.

Idrus menjelaskan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, turut mencadangkan supaya cadangan dalam representasi berkenaan diterima oleh SPRM. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.