Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Malaysia hari ini mencatatkan sebanyak 37 kes baharu positif Covid-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah jumlah positif sebanyak 6,978 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah sebanyak 1,218 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Daripada 37 kes baharu yag dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 35 kes adalah penularan tempatan yang mana 22 daripadanya adalah kes bukan warganegara Malaysia.

“Justeru kami ingin memaklumkan bahawa terdapat 31 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,646 kes (80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, sehingga kini terdapat sebanyak 11 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 114 kes (1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Kes kematian ke-114 (kes ke-6,942) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati.

“Beliau telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mei 2020 jam 3.09 pagi,” ujarnya.-MalaysiaGazette