Foto hiasan

CAMERIN HIGHLANDS – Khabar angin mengenai pekerja asing melarikan diri secara beramai-ramai dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands adalah tidak berasas kerana pihak polis telah melakukan sekatan jalan di semua laluan masuk.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah melakukan sekatan di semua laluan termasuk di jalan dari Tapah dan Simpang Pulai untuk mencegah pergerakan antara negeri oleh pengangkutan awam.

Beliau berkata, semua bas, teksi dan kereta sewa akan diperiksa sebelum diarahkan untuk berpatah balik.

Katanya kepada Oriental Daily, polis setakat Isnin hanya menahan 10 orang pekerja asing, tujuh dari Myanmar dan tiga dari Bangladesh, yang cuba menceroboh Cameron Highlands.

Menurutnya, warganegara Bangladesh menggunakan teksi sementara pekerja asing dari Myanmar menggunakan dua kereta sewa.

“Selepas pemeriksaan, dua pekerja dari Myanmar didapati positif dalam ujian COVID-19 dan mereka telah dihantar untuk rawatan di Ipoh.

“Tahanan lain yang negatif pula diasingkan dalam lokap balai polis,” katanya kepada Oriental Daily.

Katanya lagi, 10 pekerja asing itu berjaya ditahan hasil daripada maklumat orang ramai.

Ashari berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata,  Chiong Yoke Kong yang berkata, ramai pekerja asing melarikan diri ke Cameron Highlands susulan operasi besar-besaran yang dijalankan di Kuala Lumpur.

Ashari berkata, polis tidak mengesan kebanjiran pekerja asing ke Cameron Highlands dan Yoke Kong juga tidak membangkitkan isu itu kepadanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pengesahan dua pekerja asing yang positif COVID-19 telah menukar status Cameron Highlands daripada “hijau” kepada “kuning”.

Berkenaan kebimbangan pekerja asing diselinap masuk melalui lori sayur, Ashari mengakui polis sukar melakukan pemeriksaan ke atas setiap lori terutamanya jika kenderaan dipenuhi muatan barang.

Katanya, pemeriksaan secara rambang bagaimanapun dijalankan ke atas lori-lori. – MalaysiaGazette