Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi menunjukkan skim kawalan harga pada sidang media mengenai Pengumuman Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, Pesta Keamatan dan Hari Gawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 11 jenis barangan ditentukan harga maksimum dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri yang bakal di sambut Ahad ini.

Ia sekaligus menjadikan harga barang tersebut terkawal dengan penetapan harga syiling di peringkat pasar basah basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna pada musim perayaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, antara barangan itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging lembu tempatan, daging lembu import, daging lembu import (India), kelapa biji dan kepala parut.

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan. Oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman harga maksimum barangan terkawal sempena musim perayaan di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Nanta Linggi, penentuan harga kawalan itu juga turut terpakai bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Bagi perayaan tersebut barang yang turut dikawal oleh KPDNHEP ialah kepak ayam, daging kerbau import, babi hidup (dikawal diperingkat ladang), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) serta ayam tua.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, bagi sambutan Aidilfitri skim tersebut akan berkuatkuasa selama 15 hari iaitu daripada 20 Mei hingga 3 Jun.

Manakala, bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pula pelaksanaan skim itu akan bermula selama tujuh hari iaitu pada 28 Mei hingga 3 Jun.

Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga todak bertanggungjawab, beliau berkata, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga barang secara mendadak dan ketara.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut dan boleh dikenakan penalti iaitu denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

Manakala, bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan terkawal individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 manakala, bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun seihingga RM10,000.

Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP sekitranya mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan melayari portal [email protected] atau menghubungi pusat talian di 1800-886-800.

Pengguna juga boleh menghantar emel di [email protected] atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-88826245/6088 serta aplikasi Whatsapp ke 019-2794317. – MalaysiaGazette