Dr Shawaludin Husin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan Masyarakat Malaysia (MSOSH) mencadangkan satu rundingan diadakan untuk menetapkan harga siling saringan Covid-19 bagi memperbanyakkan lagi ujian dan tiada kes positif yang terlepas.

Naib Presiden MSOSH, Dr Shawaludin Husin berkata, pihak kerajaan, swasta, majikan, makmal, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan MSOSH perlu duduk semeja berunding.

Katanya, rundingan ini penting bagi mendapatkan satu hasil perkongsian sumber, kos yang adil serta mendapatkan harga purata terbaik agar lebih ramai dapat manfaat.

“Pada pendapat saya tidak boleh salahkan Perkeso sahaja kerana mereka perlu manfaatkan dana secara berhemat dalam situasi ekonomi hari ini dan tidak mustahil menerima tawaran terendah mana-mana pihak.

“Tetapi langkah yang lebih baik adalah jika kerajaan boleh berunding dengan semua penyedia saringan bagi mendapatkan harga yang berpatutan serta tidak membebankan mana-mana pihak.

“Penyedia saringan atau makmal juga perlu berkorban demi negara, berkompromi tetapi tidaklah sampai merugikan mereka untuk memberi harga dasar supaya lebih banyak makmal dan klinik swasta boleh membantu kerajaan meningkatkan kadar saringan dan mengelakkan keciciran kes.

“Hasil rundingan menetapkan harga standard ini adalah satu solusi memuaskan hati semua pihak, tiada isu monopoli dan keuntungan sebaliknya lebih ramai makmal boleh mengambil bahagian membantu kerajaan,” katanya.

Tambah Shawaludin, solusi terbaik menang-menang antara semua pihak juga perlu menumpukan syarikat-syarikat besar, syarikat berkait kerajaan (GLC) yang boleh menanggung sendiri kos saringan ujian sukarela terhadap pekerja mereka.

“Pada ketika ini ujian wajib oleh Perkeso ini adalah ke atas pekerja asing sektor pembinaan dan kawalan keselamatan sahaja berdasarkan pengalaman negara jiran kerana mereka menetap di rumah kongsi yang ramai di mana penularan wabak boleh berlaku,” katanya.

Dr Shawaludin berkata, saringan yang banyak mungkin akan menampakkan peningkatan kes tetapi mengurangkan kes terlepas pandang malah kebolehjangkitan juga semakin menurun.- MalaysiaGazette