Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad. foto AFFAN FAUZI, 13 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima ganjaran kelulusan perancangan pembangunan membabitkan kerugian RM1 juta telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Zakaria Ahmad berkata, mereka dibebaskan selepas keterangan mereka dirakam.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan secara mendalam identiti ketiga-tiga individu itu yang difahamkan termasuk seorang yang bergelar Datuk dan isterinya.

Sebelum ini, media difahamkan tiga individu yang ditahan untuk siasatan itu termasuk bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan.

“(Tiga individu) telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Setakat ini tiada tangkapan terbaharu (kes RM1juta),” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi pesanan ringkas WhatsApp petang tadi.

Beliau juga tidak mengulas lanjut ketika ditanya sama ada siasatan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebaik sahaja ia diselesaikan nanti.

Artikel berkaitan: Khalid Samad sahkan bekas setiausaha politiknya direman polis

”Kes masih dalam siasatan lagi,” kata Zakaria dalam mesej ringkas kepada MalaysiaGazette.

Pada Ahad 17 Mei lalu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menerusi akaun Twitter mengesahkan penahanan reman bekas Setiausaha Politiknya, Azli Yusof.

“Bekas Setiausaha Politik saya, Hj Azli, direman Polis semalam atas aduan sebuah syarikat arkitek yang diberi DO (arahan pembangunan) palsu oleh seorang ‘broker’.

“Broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Hj Azli yang kononnya telah mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Khalid juga mengesahkan bahawa broker berkenaan dalam kes sama turut disiasat polis.

Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu.-MalaysiaGazette