Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada pihak berniat jahat menyebarkan rakaman audio yang memperdengarkan suara beliau dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang jelas telah disunting.

Bekas perdana menteri itu mencabar pihak yang berkenaan mengeluarkan rakaman penuh mesyuarat tersebut.‬

‪”Saya kekal setia bersama rakan rakan yang berjuang dengan saya sebelum PRU-14,” katanya di laman Facebook.‬

Menulis lanjut, Dr Mahathir berkata, kalau betul mahu mengkhianati mandat rakyat, beliau boleh melakukan dahulu apabila dicalonkan sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional.‬

‪”Saya tolak. Susah & senang, kita bersama,” katanya.

Semalam tular rakaman audio yang antara lain memperdengarkan Dr Mahathir berbincang tentang cadangan Bersatu membawa keluar parti itu dari Pakatan Harapan (PH).

Turut diperdengarkan suara beliau bercakap tentang tindakan meninggalkan PH kerana tidak suka Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak suka DAP.

Artikel berkaitan: Lagi audio mesyuarat MPT Bersatu tular, putuskan Bersatu keluar PH

Rakaman audio itu disebarkan dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa keputusan membawa keluar Bersatu dari PH tidak pernah dimaklumkan kepada beliau sebaliknya ia diputuskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu tular rakaman audio Muhyiddin bercakap mengenai tindakan Bersatu meninggalkan PH dalam mesyuarat yang tidak dihadiri Dr Mahathir.

Kemudian satu lagi rakaman audio mesyuarat yang dipengerusikan Dr Mahathir yang turut dihadiri beberapa pemimpin termasuk Lim Guan Eng, Datuk Seri Azmin Ali, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin lagi. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.