Sebahagian stok makanan untuk diagihkan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 23 APRIL 2020

Oleh: Dr Rais Hussin

Krisis koronavirus mungkin menjadi titik perubahan kepada sekuriti makanan di Malaysia. Oleh kerana pandemik ini telah menyebabkan penutupan dan sekatan eksport, ia secara tidak langsung menampakkan kelemahan Malaysia untuk mengatasi kesulitan rantaian bekalan makanan, turun naik pasaran komoditi, dan cabaran berkaitan pengedaran serta penghantaran bekalan makanan.

Dalam situasi seperti ini, negara-negara yang biasanya tidak bergantung kepada bantuan global harus memperkasa para petani mereka untuk menanam lebih banyak tanaman.
Namun pada masa yang sama, mereka juga harus mempunyai simpanan yang cukup dan berkesan bagi memastikan hasil tanaman mereka dapat bertahan untuk tempoh masa yang
lama.

Kombinasi infrastruktur dan teknologi yang canggih amat kritikal dalam membantu menormalkan turun naik harga pasaran makanan tempatan daripada kekurangan bekalan, yang disebabkan oleh sekatan politik, ketidakcekapan pasaran, masalah alam sekitar, atau krisis kesihatan awam. Teknologi penyimpanan makanan secara radikalnya akan meningkatkan tahap sekuriti, keselamatan dan kualiti makanan dengan mengurangkan kadar kerosakan bekalan makanan, membangunkan simpanan komoditi, dan memastikan penyimpanan untuk jangka masa panjang yang optimum.

Ini secara tidak langsung juga akan mengimbangi jika terdapat pengurangan bekalan secara mengejut dengan jalan penyelesaian untuk bertahan lebih lama. Untuk beberapa dekad yang akan datang, kita harus bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam, kepadatan penduduk yang tinggi, kemungkinan kemunculan pandemik baru yang berulang – kesemuanya menekankan keperluan yang mendesak untuk membina sistem pertanian yang lebih tahan lama dan berdaya tahan.

Negara-negara yang secara proaktif mengintegrasi kaedah baru ke dalam rancangan pembangunan mereka, akan lebih bersedia berhadapan dengan krisis terbaru ini pada masa akan datang, dan dengan asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang lestari.
Negara-negara yang makmur dari segi ekonominya untuk beberapa dekad yang lepas memiliki beberapa ciri yang sama; iaitu kepimpinan mereka sangat komited untuk berdikari dan menjalankan pentadbiran dengan baik; menyokong perancangan jangka masa panjang yang merangkumi komitmen daripada sektor awam terhadap pembangunan infrastruktur; dan menggunakan teknologi terkini untuk menyokong dan memberi kecekapan kepada pembangunan ekosistem agronomi sektor swasta.

Pembangunan sektor pertanian menjadi lebih holistik apabila kita menilai keseluruhan rantaian pertanian. Strategi yang berjaya hasil gabunga, penyertaan pihak berkepentingan terutamanya mereka yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai; dan keperluan akses latihan dan pendidikan; serta memenuhi input dan sumber; termasuk kewangan dan pasaran. Ini seterusnya dapat meningkatkan pendapatan petani dan meningkatkan kecekapan operasi pemprosesan dan pengilangan makanan.

Pengguna dapat menikmati kualiti makanan yang lebih baik daripada sumber makanan tempatan dan mendapat keuntungan
daripada harga yang lebih rendah daripada rizab komoditi yang lebih mendalam. Penggunaan teknologi penyimpanan makanan yang canggih untuk menyimpan bijirin dan kekacang dalam jumlah yang besar (termasuk komoditi lain) ketika tahap pengeluaran tinggi dan harga di bawah tekanan, membolehkan pembelian tanaman semasa harga turun.

Tindakan ini sama seperti membantu para petani menstabilkan harga pasaran sambil membina jumlah komoditi untuk disimpan. Komoditi ini dapat disimpan untuk bertahun-tahun dan diambil kira sebagai aset – dengan cara yang sama aset diterima oleh bank tradisional. Matlamat akhir proses ini adalah mewujudkan satu ekosistem yang boleh dibankkan, yang akan menarik pelaburan daripada kerajaan, dana daulat (sovereign funds), dana institusi, dan pelabur swasta lain – semuanya disokong oleh rizab fizikal komoditi, yang boleh dikatakan mempunyai nilai asas yang lebih praktikal daripada mata wang fiat.

Semasa krisis ini, atau krisis yang lain, negara harus mengambil kesempatan untuk meningkatkan ekosistem pertanian mereka dalam usaha memperbaiki kehidupan rakyatnya. Sekarang merupakan masa yang sesuai bagi Malaysia untuk meningkatkan kecekapan agronomi dan kemudahan penyimpanan bekalan makanan. Untuk hasil yang lebih baik di kemudian hari, kita perlu mengambil pendekatan yang berbeza pada hari ini. Tanpanya,
sukar untuk membayangkan bagaimana kita dapat memperolehi sekuriti makanan, keselamatan makanan dan kedaulatan makanan.

Dr. Rais Hussin merupakan Presiden & CEO EMIR Research.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast