Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan yang disahkan oleh PDRM dalam sekatan jalanraya berikutan kerajaan membenarkan orang ramai yang terkandas di kampung atau tempat lain untuk pulang ke rumah masing-masing dengan pergerakan bermula dari Kuala Lumpur semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Genting Sempah, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana merentas negeri mahu pulang berhari raya meningkat dua kali ganda berbanding dua hari lalu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, daripada 318,082 kenderaan yang diperiksa di sekatan jalan raya, sebanyak 3,212 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan hendak pulang ke kampung berhari raya.

Mereka bagaimanapun, diarah berpatah balik kerana kerajaan masih kekal dengan SOP tidak membenarkan sesiapa sahaja bergerak melepasi negeri bagi mengelak penularan Covid-19.

“Dua hari lepas hanya 1,000 kenderaan diarah berpatah balik, dan kita menjangkakan semalam jumlahnya berkurangan, tetapi bertambah lebih dua kali ganda.

“Yang dibenarkan merentas negeri untuk pulang hanya jika ada kecemasan seperti kematian saja. Bagi alasan lain sila rujuk polis,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai status ibadat haji pada tahun ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak tahun ini.

Katanya, kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk mendapatkan makluman dari Arab Saudi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kata putus.

“Saya percaya keputusan untuk hantar atau tidak jemaah haji kita tertakluk kepada pengumuman kerajaan Arab Saudi.

“Hal ini kita serahkan kepada Menteri Hal Ehwal Agama untuk putuskan. (Datuk Seri) Dr. Zulkifli (Mohamad Al-Bakri) akan buat keputusan selepas mendapat jawapan dari Arab Saudi nanti,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.- MalaysiaGazette