Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah) meninjau harga barangan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2020 di Pasaraya Econsave, Reko Sentral, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2020.

KAJANG – Tidak wujud soal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lambat bertindak dalam memantau dan mengawal harga barangan keperluan.

Ia didakwa sebagai faktor harga barang khsusunya ayam, daging dan ikan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Ahad ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nantha Linggi berkata, sebaliknya kerajaan bertindak pantas pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memantau dan menyiasat harga barang keperluan termasuk ayam, ikan dan daging.

Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan triparte dengan semua pemain industri pertanian, penternakan dan peniaga dari peringkat pembekal, pemborong sehingga ke peniaga kecil-kecilan.

“Sebenarnya kita tidak lambat, kami sentiasa prihatin dari beberapa minggu awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang membuka suasana norma baharu yang menghadkan pergerakan awam di luar tanpa sebab munasabah.

“Waktu itu kita perhatikan dan menyiasat seluruh negara melibatkan bekalan dan harga barang keperluan utama dan memang harga ketika itu rendah sehingga suatu ketika tiga ekor ayam dijual pada harga RM10.

“Senario luar biasa ini berlaku kerana apa? sebab orang duduk rumah, restoran tidak dibuka mengakibatkan permintaan rendah sehingga ladang ayam pun berdepan masalah.

“Maka tak wujud situasi terdesak dan harga pun terkawal dan kita bertindak terbaik dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020 di Pasaraya Besar Econsave di Reko Sentral dekat sini.

Ujar beliau, hari pertama kawalan harga maksimum pada hari ini menyaksikan pemeriksaan pegawai penguatkuasa kementerian itu berada di semua pasar utama dan pasaraya seluruh negara mendapati peniaga patuh dengan harga maksimum runcit ayam standard yang ditetapkan.

Di pasar basah dilaporkan ayam standard dijual pada harga maksimum runcit RM7.50 sekilogram namun tindakan kompaun RM2,500 dikenakan ke atas seorang peniaga di pasar basah di ibu negara kerana didapati menjual ayam pada harga RM9 sekilogram dan peniaga itu diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan denda atau berdepan tindakan mahkamah.

Smentara itu, beliau juga menafikan dakwaan tidak wujud kerjasama antara KPDNHEP dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Tambah Alexander menjelaskan, pihaknya menjalin kerjasama erat dan sentiasa berhubung dengan kementerian pertanian.

“Kita lebih kerap berhubung dan bertukar pendapat dan gerak kerja.

“Dalam minggu pertama PKP kami buat perbincangan dengan semua pemain industri, pengilang dan pemborong, pasaraya dan sebagainya dengan duduk bersama Menteri Pertanian, Datuk Seri Ronald Kiandee setiap pagi menerusi mesyuarat khas mengenai bekalan dan harga barang keperluan rakyat.

“Kami juga ada jadual keselamatan makanan menerusi gembleng tenaga bersama Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Pertanian selain di peringkat pegawai penguatkuasa yang sentiasa fokus berkaitan isu bekalan makanan dan harga barang sentiasa terkawal dan tidak membebankan rakyat,” katanya.-MalaysiaGazette