KUALA LUMPUR – Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam mengambil ketetapan untuk terus menutup kuil di bawah jawatankuasa itu sehingga tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan hadapan.

Tindakan ini demi keselamatan dan terus membendung pandemik Covid-19 seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

Tan Sri N Nadarajah

Menurut Pengerusi Sri Maha Mariamman Temple Devastanam, Tan Sri R Nadarajah, pihaknya membuat keputusan setelah mengambil kira semua aspek bagi memastikan kepentingan penganutnya sentiasa terjamin berikutan pandemik ini.

Selain itu pihaknya juga melahirkan kebimbangan dengan wujudnya ‘kluster’ baharu seandainya kuil-kuil ini dibuka ketika pihak berwajib khasnya Kementerian Kesihatan masih lagi bergelut dengan Covid-19.

“Upacara sembahyang harian iaitu ‘nithya pooja saban pagi petang tetap berjalan seperti biasa walaupun ketiadaan penganut. Tidak ada sebarang perubahan walaupun ketika PKP dari awal lagi. Tidak perlu bimbang tentang itu.

“Kita melakukan upacara sembahyang ini untuk mendoakan keselamatan semua ketika negara sedang dilanda ujian besar ini. Covid-19 bukanlah satu wabak, sebaliknya pandemik yang sedang menghantui seluruh dunia. Bukan main-main.

“Di bawah penyeliaan Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam, kita mempunyai tiga buah iaitu kuil Sri Maha Mariamman KL, Sri Ganeshar Jln Pudu dan Sri Subramaniaswamy Batu Caves akan tetap ditutup kepada sehingga 9 Jun akan datang.

“Seandainya ada perubahan selepas tarikh tersebut, kita akan pantau dan buat pengumuman kelak. Sehingga itu mohon bersabar kerana kesihatan dan keselamatan diri serta orang sekeliling itu jauh lebih penting,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Nadarajah melahirkan rasa kecewa dan hairan apabila ada pengumuman pembukaan kuil secara bersyarat oleh Hindu Sangam Malaysia.

“Saya tidak pasti mengapakah keputusan seperti ini dibuat,bukan Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKN) yang putuskan sebaliknya Hindu Sangam umumkan?

“Kami terkejut apabila diberitahu dalam kenyataan Hindu Sangam bahawa kuil-kuil tidak akan dibenarkan buka untuk umum setiap hari, sebaliknya sehari dua jika ada hari-hari penting bagi upacara sembahyang tertentu.

“Kata Hindu Sangam keputusan membuka kuil untuk upacara penting telah ditentukan oleh MKN.

“Bukankah lebih baik jika MKN sahaja yang buat pengumuman tersebut dan bukannya Hindu Sangam,” soalnya.

Nadarajah juga pada masa sama meminta kepada semua penganut Hindu supaya memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan diri pada setiap masa.

“Patuhlah semua arahan yang diberikan oleh pihak berwajib pada setiap masa, itu yang sangat penting pada masa ini.

“Mari kita terus berdoa semua akan kembali seperti sediakala dan dalam keadaan baik serta terkawal,” ujarnya. -MalaysiaGazette