Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di Melaka akan beroperasi seperti biasa semasa perayaan Aidilfitri pada 24 dan 25 Mei ini.

Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman berkata, SWM Environment telah merancang strategi operasi Hari Raya dengan menyusun jadual kutipan sampah dan memastikan tenaga kerja serta jumlah kenderaan yang mencukupi.

Sebanyak 58 kenderaan lori kompaktor dan lori tipper terbuka dengan anggota seramai 237 orang akan bertugas pada Hari Raya pertama.

Manakala, sebanyak 101 lori kompaktor dan lori tipper terbuka dengan seramai 446 anggota akan bertugas pada Hari Raya kedua, katanya.

Tambah beliau, tumpuan operasi akan diberikan kepada kawasan hotspot dan mempunyai bilangan penduduk Melayu yang ramai bagi mengelakkan berlakunya longgokan sampah yang banyak dan tidak terkawal.

”Pihak operasi telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang memerlukan perhatian untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutamanya di lokasi tong sampah berpusat (hotspot) iaitudi Melaka Tengah (37), Alor Gajah (18) dan Jasin (21),” katanya.

SWM Environment memohon kerjasama dalam mengendalikan sampah dengan cara yang betul melalui penerapan konsep kitar semula dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSPDP) bagi mengelakkan peningkatan pembuangan sampah secara haram.

Berikutan Hari Raya yang akan disambut ketika negara dilanda wabak Covid-19, orang ramai juga dinasihatkan melupuskan penutup hidung dan mulut yang telah digunakan mengikut tatacara yang betul.

Sisa tersebut perlu dimasukkan ke dalam plastik yang diikat atau dibungkus rapi sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Jika terdapat sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472, WhatsApp 012 618 0082 ataupun emel [email protected]. – MalaysiaGazette