Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 90 kes kes baharu Covid-19 di discaj hari ini menjadikan jumlah kes yang dibenarkan keluar wad iaitu 5,796 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes pulih Covid-19 di Malaysia adalah hampir dua kali ganda berbanding kes baharu.

Bagaimanapun, 50 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan wabak itu 7,059 kes.

“Daripada jumlah itu, tiga kes merupakan import manakala 47 kes lagi adalah penularan tempatan. 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 34 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

“Mereka ini telah berada di dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak itu kekal sebanyak 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette