Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu yang dikenal pasti di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

Seramai 645 orang telah disampel secara keseluruhan di mana 35 daripadanya didapati positif Covid-19 manakala, 400 lagi negatif dan 210 orang masih menunggu keputusan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ke semua 35 kes positif tersebut bukan warganegara Malaysia, dimana 17 merupakan warga Myanmar, 15 warga India, seorang warga Sri Lanka, seorang Bangladesh dan satu lagi Mesir.

“Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan. KKM telah menyediakan perkhidmatan kesihatan ke semua pusat depot tahanan secara berjadual.

“Perkhidmatan ini diberikan oleh pasukan kesihatan dari Klinik Kesihatan yang terdekat.

“Anggota pasukan kesihatan ini adalah terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat
Terlatih dan Jururawat Masyarakat,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menuurt Noor Hisham lagi, bagi memastikan kes-kes jangkitan Covid-19 dapat dikesan sepenuhnya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah akan meneruskan tindakan seterusnya iaitu menggunakan pendekatan tertumpu (targeted approach).

Langkah itu termasuk melakukan siasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko oleh pihak yang berkaitan, Saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes secara aktif.

Perkara lain yang turut akan dibuat kata beliau, iaitu kes positif akan diisolasi dan dirawat di hospital, manakala kontak rapat akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta 342.

Justeru katanya, KKM akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi Kerajaan bagi pengurusan kes wabak berkenaan yang melibatkan Depot Tahanan Imigresen. – MalaysiaGazette