Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Perubahan pendirian kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis telah membantu peningkatan import oleh negara berkenaan.

Menteri Perusahaaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali., Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac lalu.

Di samping itu tambah beliau, kesediaan kerajaan Malaysia untuk memastikan jurang dagangan yang sebelum ini menjadi isu juga merupakan faktor penting peningkatan tersebut.

“Selain itu, salah satu sebab peningkatan import adalah kerana harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras percukaian duti eksport Malaysia.

“MPOC sentiasa memantau pasaran dan mendapati terdapat peningkatan signifikan sebanyak 47 peratus minyak sawit yang didagangkan di Bursa Malaysia dengan peningkatan 66,427 lot semalam berbanding purata 45,200 lot setiap hari sepanjang minggu lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan dengan itu, Mohd Khairuddin berkata, Malaysia komited untuk menjaga hubungan baik dengan India bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Hubungan ini perlu supaya kepentingan kedua belah pihak dapat dipelihara dan rakyat dapat menikmati hasilnya, katanya.

Beliau berkata, perkembangan hubungan diplomatik dengan negara itu kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi bulan Jun dan Julai 2020.

“Kerajaan menjangkakan situasi ini akan memberikan impak positif ke atas industri sawit dan ekonomi negara.

“Industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500,000 pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258 ribu pekebun kecil persendirian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan juga menjangkakan perkembangan baik itu akan mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran dengan kembalinya pengimport India membeli minyak sawit daripada Malaysia.

Menurut Khairuddin, India merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia dalam sektor agrikomoditi dan perkara itu terbukti di mana India telah menjadi pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada 2019 dengan jumlah sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion.

Jumlah eksport itu katanya, meningkat kira-kira 67 peratus berbanding 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.

Bagaimanapun, beberapa siri peristiwa telah mencetuskan trend kejatuhan mendadak dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India dan sepanjang suku pertama tahun ini, kebanyakan import minyak sawit oleh India adalah dari negara pengeluar lain.

“Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada bulan Januari – April 2020 telah menunjukkan penurunan drastik hampir 94 peratus kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, iaitu 1.6 juta tan.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah giat berusaha sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengadakan beberapa siri rundingan secara maya untuk menarik pengimport dari India agar membeli minyak sawit Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette