Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 19 MEI 2019

PUTRAJAYA – Umat Islam yang bakal menyambut sambutan Aidilfitri Ahad ini dinasihatkan agar memberi perhatian terhadap cara penyedian yang betul dan selamat ketika menyediakan juadah.

Ini kerana, langkah penyediaan makanan yang selamat boleh mencegah keracunan makanan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menyarankan agar orang ramai mengamalkan lima kunci keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang disediakan bersih dan selamat untuk keluarga tersayang.

“Amalkan kebersihan diri dan mencuci tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan.

“Gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih, gunakan peralatan yang berasingan seperti papan
pemotong untuk makanan mentah dan yang telah dimasak serta masak makanan dengan sempurna dan pastikan ianya
dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam.

“Simpan makanan pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu Noor Hisham turut menasihatkan agar orang ramai mengamalkan amalan pemakanan sihat dan seimbang atau 3M.

Tiga perkara itu katanya, masak di rumah kerana ia dapat membantu mengawal penggunaan minyak, gula dan garam dalam
makanan.

Langkah seterusnya kata beliau, mereka perlu makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan serta minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

“Elakkan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi seperti kordial dan minuman berkarbonat,” ujarnya. – MalaysiaGazette