Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

PUTRAJAYA – Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didapati negatif selepas menjalani ujian Covid-19 baru dibenarkan untuk dihantar pulang ke negara asal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihakanya sedang menjalankan ujian saringan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan Semenyih bagi mengesan PATI yang positif kerana pandemik itu.

Katanya, ujian saringan perlu diselesaikan dan keputusan negatif perlulah diperoleh sebelum warga asing yang ditahan dihantar pulang bagi mengelak penularan baru wabak.

“Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan 65 kes positif Covid-19 di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dengan pertambahan 25 kes baharu, hari ini.

“Kes positif di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih pula masih dua orang yang terdiri daripada warga Myanmar.

“Berdasarkan data diperoleh, majoriti warga asing positif di depoh tahanan adalah warga Pakistan,” katanya dalam pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, saringan sudah dijalankan terhadap 114 kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan mereka disahkan negatif.

Ujarnya, terdapat tahanan positif Covid-19 ditahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan manakala, sebahagian lain selepas PKP.

Tambahnya, proses saringan akan terus dijalankan manakala bagi mereka yang mempunyai gejala dan positif diasingkan untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak KKM. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hantar je blk negara asal mereka. Xpayah nak jd terlalu brtimbangrasa. Mereka bkn tahu nak brterima kasih.

  2. Baik sungguh Malaysia, beri pemeriksaan percuma dan tambang percuma kepada semua PATI, itupun masih lagi di tuduh Malaysia zalim terhadap PATI oleh NGO.

Comments are closed.