Pengasas Halaman Nurani, Shahrul Nizam Kamal (dua kanan) menyerahkan bungkusan barangan keperluan kepada salah seorang golongan B40 di Kedai Makan Abang Tukang Masak, Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2020.

 

Oleh: Farhan Kamarulzaman

Untuk meneruskan perjalanan misi "Survive-to-Restart" atau “Memulakan semula demi kelangsungan hidup”, pengelasan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia perlu
dinilai semula kerana pengelasan semasa tidak lagi sesuai untuk mempromosikan kesejahteraan ekonomi golongan berpendapatan rendah.

Pengelasan semasa amat mengelirukan untuk menjelaskan polisi yang disasarkan oleh kerajaan, termasuk membenarkan kajian dan perbandingan beberapa data konkrit mengenai kedudukan ekonomi antara kelas pendapatan. Ini akan membantu kerajaan dalam beberapa polisi yang disasarkan sepenuhnya terhadap B40, meminimumkan jurang perbezaan antara M40 dan menangani
masalah ketidaksamaan pendapatan yang semakin meningkat.
Dari segi pendapatan, isi rumah B40 haruslah dikategorikan kepada beberapa sub-kumpulan pendapatan yang lebih terperinci kerana setiap sub-kumpulan mungkin berbeza dari segi keperluan dan melibatkan strategi campur tangan yang khusus.

Sebagai contoh, B40 harus dibahagikan kepada tiga sub-kumpulan iaitu isi rumah B40 yang berpendapatan rendah sebanyak RM900 atau kurang daripadanya; isi rumah B40 yang berpendapatan sederhana antara RM901 hingga RM1,500 dan isi
rumah B40 yang berpendapatan tinggi antara RM1,501 hingga RM3,000. Pada masa ini, isi rumah B40 adalah yang berpendapatan di bawah RM4,346.

Manakala M40 pula boleh dibahagikan kepada isi rumah M40 yang berpendapatan rendah antara RM3,001 hingga RM6,999 dan isi rumah M40 yang berpendapatan tinggi antara RM7,000 hingga RM9,999. Pendapatan semasa M40 adalah isi rumah dengan tahap pendapatan antara RM4,361 hingga RM9,619. Dengan pengelasan semula M40 rendah dan tinggi, sebahagian isi rumah M40 semasa akan berada di bawah kumpulan B40 bagi menikmati bantuan yang seharusnya diperlukan.

Itulah sebabnya kajian mengenai pengelasan semula yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) akan meningkatkan pendekatan yang dilakukan sebelum ini, yang ditujukan sepenuhnya kepada B40 mengikut kesesuaian konsep pendapatan, penggunaan isi rumah, ukuran dan komposisi isi rumah dan kepelbagaian geografi. Bukan itu sahaja, kerajaan harus menentukan dan memutuskan skala pengagihan
pendapatan yang sesuai di dalam negeri atau bahkan di peringkat nasional.

Pengelasan semula pendapatan isi rumah ini diperlukan untuk mengimbangi ukuran dan komposisi isi rumah yang berbeza serta untuk mengimbangi skala ekonomi yang dihasilkan daripada anggota seisi rumah untuk mengumpulkan pendapatan
mereka dan berkongsi sumber yang ada. Hal ini kerana jika pengelasan pendapatan isi rumah semasa masih diteruskan,
maka pengagihan pendapatan dan aset yang tidak sekata akan menjadikan orang kaya bertambah kaya, manakala orang miskin akan terus ketinggalan.

Mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung, sekarang merupakan masa yang sesuai bagi Malaysia untuk melakukan pengelasan semula dengan pengelasan yang lebih terperinci kerana pengelasan sedia ada menimbulkan masalah ketidaksamaan dari segi pembahagian kepada kumpulan
sasar. Penekanan untuk memenuhi keperluan rakyat ternyata seringkali wujud untuk golongan B40 yang dikenali sebagai golongan miskin, tetapi secara umum dapat dilihat bahawa ia sama sekali tidak berjaya. Ini kerana pergelutan berterusan golongan B40 untuk menghadapi kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan kos asas seperti rumah, pakaian, makanan, dan
pengangkutan awam dengan pendapatan yang rendah.

Berdasarkan tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, 56 peratus perbelanjaan bulanan untuk golongon B40 adalah untuk makanan, pakaian dan perumahan dan purata pendapatan bulanan mereka adalah sekitar RM2,848.
Ianya sukar untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-sebelas (RMK-11) bagi meningkatkan purata pendapatan bulanan B40 menjadi RM5,270 dengan melihat kadar purata pendapatan bulanan pada tahun 2016.

Hal ini juga disokong oleh penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Carmelo Ferlito. Beliau mengatakan bahawa ia sukar untuk mengetahui sebab-sebab mengapa "miskin bandar adalah miskin" dan kumpulan B40 tidak seharusnya dilihat sama untuk semua keadaan. Dengan munculnya wabak coronavirus ini, kesannya akan menjadi jauh lebih besar, bukan hanya pada pendapatan isi rumah tetapi juga pada ekonomi negara secara keseluruhan kerana wabak ini akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada syarikat-syarikat kecil dan kumpulan yang mudah terjejas seperti individu berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama, kadar pengangguran mungkin akan meningkat kerana penutupan perniagaan dan ramai orang akan terjejas teruk semasa atau bahkan setelah PKP serta kuasa membeli akan berkurangan dan berpotensi menghambat
pembangunan ekonomi. Pakej rangsangan ekonomi merupakan langkah positif dengan memberi wang tunai secara terus kepada rakyat, namun perubahan juga haruslah dilakukan sepenuhnya
setelah pertempuran melawan wabak ini berakhir untuk mendorong peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan ekonomi rumah tangga.

Perkara yang lebih penting adalah setelah PKP ditamatkan, langkah-langkah yang sesuai harus segera diambil untuk membantu para peniaga dan individu bangkit kembali serta menumpukan perhatian untuk memacu ekonomi negara secara
berperingkat, seperti yang dilakukan semasa PKP Bersyarat ini.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa konsep di sebalik pengelasan pendapatan semasa telah memberikan sumbangan yang besar untuk mengurangkan masalah kemiskinan iaitu dari 50 peratus pada tahun 1970 menjadi 0.4 peratus pada tahun
2016, namun ketidaksamaan pendapatan dan kesulitan rumah tangga disebabkan oleh pendapatan yang rendah adalah sesuatu yang perlu kita pertimbangkan untuk pasca-PKP.

PKP akan mempengaruhi statistik pendapatan secara agregat termasuk langkah-langkah pengagihan semasa fasa kelangsungan hidup dan Malaysia harus bersedia untuk menghadapi kenyataan ini. Kerajaan juga harus siap sedia untuk pasca-PKP bersama dengan pembaharuan pengelasan isi rumah untuk melindungi kehidupan rakyat. Tetapi M40 tidak boleh dilupakan kerana mereka juga berjuang untuk mempertahankan pekerjaan mereka dan mempertahankan gaya hidup yang baik,
terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dengan kenaikan kos sara hidup.

Pelbagai inisiatif harus disusun untuk meningkatkan taraf hidup mereka seperti pencapaian pendidikan, pengembangan kemahiran keusahawanan, termasuk akses kemudahan asas dan perumahan mampu milik. Akhir sekali, terdapat harapan yang besar supaya kerajaan dapat menggunakan kejadian yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mengatasi ketidakseimbangan
dalam pengagihan pendapatan dan kekayaan serta menyamakan peluang untuk membawa kesejahteraan dalam kehidupan rakyat.

Penulis merupakan Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.