Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Seramai 29,447 pemandu teksi yang memiliki Kad Pemandu yang sah dan aktif semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menerima manfaat bantuan tunai RM600 oleh Kementerian Kewangan bermula 2 April lalu.

Bagaimanapun terdapat banyak maklum balas menunjukkan masih ada yang belum menerima bantuan tunai itu kerana pelbagai sebab termasuk kira-kira 30,000 pemandu teksi tidak dapat menerima manfaat berikutan kad pemandu mereka sudah tamat tempoh.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam kenyataan media hari ini berkata, ia adalah bayaran secara one-off yang diumumkan kerajaan kepada pemandu teksi yang berdaftar dengan peruntukan sejumlah RM18 juta bagi Fasa Pertama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Mac lalu.

Pemberian itu menyusul ekoran wabak Covid-19 yang telah menjejaskan pengusaha sektor pengangkutan awam apabila jumlah penumpang menunjukkan penurunan ketara susulan pergerakan terhad orang ramai di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan para pemandu teksi adalah antara kumpulan yang paling terjejas akibat krisis kesihatan ini.

“Bantuan yang diberikan adalah bagi meringankan beban pemandu teksi yang terjejas pendapatan disebabkan pelaksanaan PKP yang kini dilanjutkan sehingga 9 Jun ini dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Oleh demikian Ka Siong berkata, bagi memastikan 30,000 pemandu teksi yang Kad Pemandunya telah tamat tempoh dapat menikmati manfaat sama, kerajaan bersetuju membenarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan untuk memperbaharui kad mereka dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2020.

“APAD seterusnya akan membantu para pemandu untuk tindakan susulan bagi mendapatkan bayaran tunai RM600. Bagi pemandu teksi yang tidak mempunyai akaun BSN, mereka perlu mengemaskini butiran akaun bank mereka melalui semak prihatin.treasury.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad) mereka.

“Manakala bagi pemandu yang mengalami masalah bankrap atau muflis, pemandu boleh merujuk terus kepada Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri atau melayari portal BHEUU untuk tindakan lanjut.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam termasuk pengusaha teksi supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjalankan operasi tanpa dokumen yang sah.

“Sentiasa mengutamakan keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna yang lain termasuk pejalan kaki ketika berada di atas jalan raya dan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh negara, maaf zahir dan batin,” tegasnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Datuk menteri pengangkutan malaysia,kmi pemandu Teksi d Sabah blm satu org pn yg blm dpt bantuan ini,kmi pn terkesan jga dgn perintah kawalan pergerakkn(pkp),bantu lh kmi supaya bole mndapat dan menerima bantuan tersebut,jan anaktirikn kmi d Sabah Datuk..

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.