Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang ghairah pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri dan berjaya melepasi sekatan jalan raya rentas negeri dengan menggunakan pelbagai helah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Memberi amaran itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata polis akan mengambil pendekatan tertentu bagi memastikan perkara itu tidak diambil mudah oleh orang ramai.

“Walaupun dapat melepasi sekatan jalan raya dan dapat balik kampung rentas negeri, pendekatan tertentu akan diambil oleh polis untuk mengatasi masalah ini.

“Awas. Jangan ambil mudah kerana kami akan melaksanakan tugas walaupun terpaksa mengambil pendekatan yang mungkin tidak digemari masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan sekatan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke utara, di sini hari ini.

Beliau berkata amaran tegas berhubung larangan rentas negeri telah dikeluarkan kerajaan namun terdapat segelintir individu yang masih ingkar.

“Amaran kami, tunggu tindakan polis kerana mereka juga perlu kembali ke ibu kota selepas musim perayaan ini nanti,” tegasnya.

Terdahulu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Jalan Duta mendapati aliran trafik di laluan itu meningkat sekali ganda menjelang tengah hari berbanding waktu pagi.

Tinjauan yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari itu mendapati ramai pemandu diarah untuk berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen yang sah untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Sepanjang tempoh itu juga, terdapat seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an diarah turun daripada sebuah bas komersial untuk tindakan lanjut oleh pihak polis kerana dipercayai gagal mengemukakan dokumen rentas negeri.

Selain itu, seorang pemandu yang enggan dikenali ketika ditemui di sekatan jalan raya itu berkata dia tidak mengetahui arahan tidak boleh rentas negeri.

Dia juga diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen untuk rentas negeri.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.