Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Jumlah kematian bagi pesakit positif Covid-19 masih kekal kepada 115 kes kerana tiada kes kematian terbaharu direkodkan.

Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, positif Covid-19 terus meningkat kepada 48 kes hari ini.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,185 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,158 kes.

“Daripada 48 kes baru yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 44 kes penularan tempatan, 25 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 21 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan bahawa terdapat 53 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah
pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,912 kes (82.1 peratus daripada jumlah
keseluruhan kes),” katanya lagi.

Daripada 48 kes baharu itu, katanya, Selangor mencatatkan kes jangkitan tertinggi dengan 37 kes dengan empat kes import.

Kuala Lumpur dengan lima kes dan masing-masing satu kes di Johor, Negeri Sembilan dan Sabah. – MalaysiaGazette