Sebahagian pekerja tanpa izin yang ditahan dalam operasi yang dijalankan dalam operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

KUALA LUMPUR – Seramai 114 orang pegawai petugas Jabatan Imigresen di Depoh Tahanan Warga Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Bukit Jalil yang selesai menjalani ujian saringan Covid-19 baru-baru ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kesemua keputusan ujian saringan itu menunjukkan negatif Covid-19.

“Petugas imigresen di depoh tahanan PATI setakat ini telah membuat ujian saringan di Bukit Jalil iaitu keseluruhannya 114 pegawai dan yang berkaitan. Namun hasil ujian didapati negatif untuk kesemua mereka.

“Saringan juga sedang dilaksanakan di pegawai Imigresen di Depoh Semenyih tetapi setakat ini tidak ada isu lagi, positif Covid timbul dan tiada wujud soal lagi yang positif perlu dihantar ke hospital dan rawatan dan penggantian petugas di situ sebagainya,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Justeru beliau juga menjawab sama ada saringan Covid-19 akan dilaksanakan ke atas tahanan di penjara negara ini memandangkan 12 peratus daripada mereka adalah banduan warga asing.

Katanya, setakat ini tidak ada laporan penghuni penjara walaupun terdiri daripada warga asing didapati positif Covid-19.

“Mungkin mereka dipenjarakan lebih awal daripada musim Covid-19 dan pelaksanaan PKP. Maka tidak timbul isu itu sekarang,” ujarnya.

Beliau turut  mengulas mengenai sama ada majikan dibenarkan mengadakan temuduga pekerja baharu dan apakah proses untuk individu yang ditawarkan pekerjaan untuk memulakan pekerjaannya.

Ismail Sabri menegaskan tidak ada masalah untuk majikan mengadakan temuduga pengambilan pekerja dalam talian dan mana-mana individu yang berjaya ditawarkan pekerjaan perlu men dapatkan kebenaran dari balai polis berhampiran untuk melapor diri dalam tempat pekerjaan baharu yang ditawarkan.-MalaysiaGazette