Anggota trafik mengawal aliran trafik dari ibu kota menghala ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan ekoran orang ramai yang masih berdegil melakukan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman walaupun pelbagai amaran telah dikeluarkan oleh kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan telah diarah berpatah balik semalam menyaksikan sedikit penurunan berbanding kelmarin.

Semalam sebanyak 1,158 kenderaan yang telah diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 1,613 pada hari sebelumnya.

Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi pula adalah Selangor (460), Melaka (121) dan Negeri Sembilan (95).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam PDRM juga telah mengenakan 162 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 157,364 kenderaan.

Menurut beliau, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 97,552 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 7,435 pasar raya, 5,131 restoran, 1,415 penjaja dan 1,024 kilang serta 4,203 bank telah diperiksa.

“Pemeriksaan juga telah dibuat di 1,322 terminal pengangkutan darat, 236 terminal pengangkutan air dan 349 terminal pengangkutan udara.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 30,702 buah kenderaan persendirian, 2,052 kenderaan awam dan 286 vessel. Turut diperiksa adalah 10,637 pasar awam, 4,045 tempat ibadah, 944 tempat riadah dan 636 tapak binaan.

“Sebanyak 3,479 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 18,297 anggota,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, katanya, PDRM telah menahan 156 individu dan mereman 50 individu atas kesalahan melanggar SOP.

“PDRM telah mengeluarkan kompaun kepada 106 individu atas kesalahan melanggar

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Mengenai operasi Sanitasi Awam COVID-19, Ismail Sabri berkata, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 7,045 operasi sanitasi merangkumi 174 zon termasuk di 78 Zon Kuning dan Merah.

Sebanyak 10,675 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,615 pusat perniagaan, 3,855 bangunan kerajaan, 1,578 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,278 tempat awam dan 349 pasar raya.

Semalam sebanyak 21 operasi sanitasi meliputi 7 Zon Merah dan Kuning di 5 buah negeri, termasuk 12 operasi di Sabah, 4 operasi di Sarawak, 3 operasi di Kedah dan 1 operasi di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette