Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah saat akhir sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri tahun ini amat dirasai perbezaannya apabila lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan barangan keperluan hari raya menerima jumlah pengunjung yang agak sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) serta Jakel Mall mendapati kebanyakan pengunjung melakukan pembelian di saat-saat akhir apabila mereka mula memenuhi kedua-dua lokasi tersebut sejurus waktu berbuka puasa.

Suasana sedikit berbeza di sepanjang Jalan TAR berikutan masih ada beberapa buah premis perniagaan yang belum beroperasi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah saat akhir sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2020.

Manakala premis-premis yang dibuka pula dilihat patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara iaitu mengamalkan penjarakan sosial sebelum membenarkan pelanggan melangkah masuk ke kedai selain melakukan pemeriksaan suhu badan serta penggunaan cecair pembasmi kuman.

Bagaimanapun masih terdapat segelintir individu yang dilihat tidak mengendahkan saranan pihak kerajaan apabila keluar membeli-belah sambil mendukung anak kecil.

Dalam masa sama, anggota polis trafik turut menjalankan tugas mengawal lalu lintas di sepanjang Jalan TAR ekoran peningkatan jumlah kenderaan pengunjung yang menggunakan laluan tersebut.

Anggota Polis Trafik mengawal lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dipenuhi kenderaan apabila orang ramai tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah saat akhir sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2020.

Di corong-corong radio pula, kedengaran pelbagai lagu raya diputarkan namun suasana tersebut masih belum dapat membangkitkan ‘mood raya’ warga kota apabila premis perniagaan di kawasan itu mula ditutup pada pukul 10 malam bagi mematuhi arahan PKPB.

Ada juga pengunjung yang dilihat belum sempat panas badan, kedai yang mereka ingin kunjungi mula menarik pintu untuk menutup operasi sebelum mereka beredar dengan riak wajah yang kecewa.

Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah saat akhir sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada malam sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2020.

Jika dibandingkan dengan kemeriahan tahun sudah, Jalan TAR pada Aidilfitri kali ini sememangnya berubah wajah ekoran pelaksanaan PKPB yang menghadkan waktu operasi perniagaan.

Sementara di Jakel Mall pula, MalaysiaGazette dimaklumkan pembelian pakaian hari raya masih mendapat sambutan seperti biasa daripada para pengunjung sejak ia dibuka semula pada 4 Mei lalu. – MalaysiaGazette