PETALING JAYA – Seorang suspek lelaki berusia 31 tahun yang dikehendaki polis dalam beberapa kes kecurian kenderaan dan juga jenayah serta memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk dadah akhirnya berjaya dicekup polis daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bertindak atas maklumat kes kenderaan, sepasukan polis telah menahan suspek di Jalan Taman Subang Delima Shah Alam Selangor pada Jumaat 22 Mei sekitar 10 malam.

“Siasatan awal suspek telah mengaku terlibat dengan jenayah curi kenderaan jenis Proton Satria bersabit laporan Kota Damansara.

“Hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan memiliki lima rekod jenayah dan dua rekod dikehendaki bersabit rekod jenayah di Pekan iaitu Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Petaling Jaya di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, pada hari yang sama sekitar jam 11.50 malam polis telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Nuri Seksyen 7 Kota Damansara Petaling Jaya.

Suspek berusia 31 yang dikehendaki polis dalam lima rekod jenayah termasuk dadah selama ini dicekup polis Petaling Jaya pada Jumaat.

Ujar Nik Ezanee, dengan berpandukan arah yang ditunjukkan suspek, pihak polis menemukan  komponen yang telah dileraikan dan dipasang di dalam sebuah kenderaan milik suspek iaitu kereta jenis Honda Accord EFI.

“Polis juga berjaya menemui komponen-komponen kenderaan jenis Proton Satria yang disyaki telah dicuri yang disembunyikan  di dalam bilik tidur suspek.

“Suspek telah ditahan dan direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen Seksyen 379A, Kanun Keseksaan.

“Polis dari lokasi tersebut telah merampas kenderaan Honda Accord EFI milik suspek, Proton Satria yang dicuri, satu set tapak besi kerusi yang dileraikan, sebilah gergaji besi dan satu set peti perkakasan bertulis Beta untuk siasatan lanjut,” tegasnya.

Dalam satu lagi perkembangan lain, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 33 tahun yang telah terlibat dalam kes pecah rumah.

Kata beliau kejadian berlaku di Blok F Perumahan Flat Taman Medan, Petaling Jaya.

Katanya dalam kejadian pada Sabtu jam 6.40 pagi polis pasukan MPV yang melakukan rondaan keselamatan menerima panggilan bergegas ke Flat Taman Medan.

“Setelah tiba di lokasi, terdapat tangkapan ornag awam dalam kes pecah rumah di kawasan itu iaitu suspek lelaki dan barang rampasan oleh penduduk setempat.

“Suspek telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksye 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan d Senjata Bahaya (ABKLSB) 1958.

“Bersama suspek berjaya dirampas senjata tajam menyerupai kerambit, 3 pemutar skru, 3 sepanar, 1 playar, satu pemotong panjang, du pemotong kecil satu pahat, sebuah gunting, sepasang sarung tangan, sebuah telefon bimbit jenis huawei dan sebuah beg galas untuk tindakan lanjut,” tegas beliau.-MalaysiaGazette