Kelihatan orang ramai beratur untuk membeli lemang sempena hari pertama raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pak Ali Lemang Asli, Ulu Klang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2020

BERLALU 1 Syawal 1441 Hijriah menandakan ketibaan Syawal tahun ini membawa satu budaya baru dalam masyarakat yang berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

Tiada rumah terbuka, tiada kunjung mengunjung dan menziarahi sanak saudara, dan tiada percutian seisi keluarga ke tempat-tempat peranginan adalah satu keadah yang sebenarnya
memberi kesan kepada banyak pihak.

Datuk dan nenek di kampung tidak dapat menatap wajah anak-anak dan cucu-cicit yang selalunya berkumpul meraikan Aidil Fitri bersama-sama dalam satu keluarga besar. Warga emas yang merupakan ibu bapa kita dapat memahami resam baru ini walaupun dengan hati yang penuh kesedihan kerana kerinduan terhadap ahli keluarga dan darah daging sendiri.

Hubungan persaudaraan pula tidak dapat terjalin dengan salaman dan senyuman sebenar. Ucapan dalam platform digital dengan panggilan video menjadi pengganti, yang pastinya tidak sama tahap kepuasan hati berbanding dengan bertemu secara berdepan dan menatap wajah manis saudara-mara.

Tiada juga percutian seisi keluarga ke tempat-tempat peranginan negara yang sudah tentu memberi kesan negatif ekonomi terhadap pengusaha hotel, rumah tumpangan atau homestay.
Kerancakan ekonomi pelancongan sewaktu Syawal tidak dapat dirasai tahun ini.

Kesedihan dan kepiluan hati mengenang Aidil Fitri tahun ini yang kurang kemeriahan pasti akan dikenang dalam lipatan sejarah insan setiap Muslim khususnya di Malaysia.

Aidil Fitri tahun ini mungkin boleh ditanggapi sebagai CovEid 2020 sebagai gabungan Covid dan Eid. Ini bahasa tidak formal atau rasmi kerana ia bukanlah satu istilah yang patut
diiktiraf secara rasmi. Sekadar santaian bahasa sebagai satu resam baru Aidil Fitri dek keberadaan virus pembunuh ini.

Suasana CovEid ini memang memberi impak kepada semua pihak. Tiada juga rumah terbuka menandakan aktiviti-aktiviti pemimpin politik dan perniagaan untuk mendekati ahli
masyarakat juga tidak dapat berlangsung. Pemimpin masyarakat ini terpaksa memikirkan kaedah lain untuk kekal menjadi figura awam yang masih memiliki citra sebagai pemimpin membantu masyarakat dengan cara berbeza.

Sebenarnya, hampir tiada pihak yang tidak terkesan dengan CovEid ini. Tetapi, disebalik CovEid ini, kita juga dapat memerhatikan beberapa kesan positif.

Pertama, kemalangan maut dapat dikurangkan kerana larangan merentas negeri dan sekatan perjalanan. Kemalangan maut acap kali berlaku dengan ketara pada musim perayaan kerana
masyarakat berpusu-pusu mahu pulang ke desa berhari raya.

Kedua, peruntukan khas untuk berhari raya juga dapat digunakan pada tahap minimum. Pakaian raya boleh didapati dengan menggunakan semula baju hari raya tahun-tahun
terdahulu yang masih cantik dan baik. Ini sebenarnya konsep “sustainability” pada perbelanjaan dan kepenggunaan. Perbelanjaan pengguna hanya pada perkara-perkara yang
amat perlu.

Ketiga, penghasilan sisa makanan kerana perayaan seperti Aidil Fitri juga dapat diturunkan pada tahap yang rendah dan terkawal. Masakan pada Raya kali ini cukup untuk santapan ahli
keluarga dan jiran terdekat malah tiada kenduri-kendara yang banyak menghasilkan lebihan makanan yang adakalanya membawa pembaziran pula.

CovEid ini adalah campuran suka dan duka, hakikatnya. Suka kerana kita boleh kembali mengamalkan suruhan agama yang meminta para Muslim mengamalkan pemakanan yang seimbang dan tidak membazir, perbelanjaan wang yang perlu dan tidak berlebihan, dan menggunakan sumber sedia ada yang masih baik. Dukanya pula kita sedia maklum.

Apapun yang terjadi, Raya tetap Raya, meskipun pada resam berbeza. Menyuci jiwa, membersihkan hati, menajamkan pertimbangan akal, dan memperteguh hubungan insani
dengan cara berbeza adalah hikmah besar daripada CovEid ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Oleh: Dr Muhammad Abd Hadi Bin Bunyamin
Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast