MOSCOW – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh apabila sebuah helikopter, Mi-8, milik tentera udara Rusia, terhempas semasa melakukan pendaratan dan terbakar berhampiran bandar Anadyr di wilayah Chukotka, timur jauh Rusia.

Tentera Rusia mengesahkan kesemua krew terbunuh dalam insiden yang berlaku semasa penerbangan latihan itu, lapor RT.

Perkhidmatan kecemasan tempatan melaporkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh.

Punca kemalangan tidak diketahui, data awal mencadangkan kemungkinan terdapat kerosakan peralatan.

Sebuah pasukan siasatan khas telah dikerahkan ke kawasan kemalangan untuk melakukan siasatan yang mana kotak hitam telah ditemui.

Ia merupakan kemalangan kedua membabitkan helikopter Mi-8 dalam tempoh seminggu.

Pada 19 Mei lalu, empat krew penerbangan terbunuh dalam insiden yang berlaku di barat laut Moscow.

Dibangunkan di Kesatuan Soviet pada pertengahan 1960an, Mi-8 merupakan helikopter pengangkut dan pelbagai guna yang dianggap antara helikopter paling banyak dihasilkan di dunia.

Pesawat tersebut masih lagi dihasilkan di Rusia dan aktif digunakan di lebih 50 buah negara. – Agensi