gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur yang akan dibina di daerah Jerantut dengan kos kira-kira RM100 juta adalah cetusan idea Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang masih dalam peringkat perancangan dan belum dipertimbangkan atau diluluskan.

Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, LGM dan Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) serta kerajaan belum mempertimbangkan perkara itu apatah lagi meluluskannya.

“Projek ini akan diangkat untuk kelulusan setelah kajian fisibiliti secara menyeluruh berkenaan projek ini dilakukan serta impak terhadap fasilitifasiliti penyelidikan lain di bawah LGM sebelum dibentangkan ke pihak Lembaga Pengarah LGM.

“Hanya selepas mendapat kelulusan Lembaga baru projek ini akan dibawa untuk kelulusan MPIC dan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Nazlan, usaha penyelidikan di peringkat LGM tidak pernah terputus dan LGM sentiasa mengutamakan sektor-sektor penting iaitu huluan (perladangan getah), pertengahan (pemprosesan getah) dan hiliran (pembuatan produk getah).

Ujarnya, keperluan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan serta komprehensif di pusat penyelidikan LGM untuk teknologi utama seperti pembangunan klon-klon terkini sangat penting bagi menjamin produktiviti di peringkat huluan supaya pembekalan bahan mentah yang diperoleh di peringkat pertengahan dan hiliran dalam kualiti yang terbaik.

Ia juga secara tidak langsung dapat menambahkan pengeluaran getah negara melalui pengurusan model komersil oleh perbadanan LGM disamping membantu usaha penyelidikan klon dan teknologi untuk industri getah negara, katanya.

Tambah beliau, LGM melalui perancangan strategik dan keperluan penyelidikan memerlukan kawasan untuk dijadikan pusat penyelidikan teknologi industri getah.

“Objektif utama pembangunan pusat penyelidikan teknologi di kawasan-kawasan berlainan di serata Malaysia termasuk di Pantai Timur adalah bertujuan untuk memastikan masa hadapan industri
getah negara lebih maju, dengan pendapatan di peringkat huluan dan hiliran sama-sama ditingkatkan bagi kemampanan industri getah Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette