NEW DELHI – Suhu di ibu kota India melonjak 47.6C kerana sebahagian besar utara India menghadapi keadaan gelombang panas yang teruk.
Gelombang panas ini dijangka berlanjutan hingga hujung minggu di tengah-tengah kebanyakan wilayah sedang bergelut dengan peningkatan jangkitan Covid-19 dan sekumpulan belalang yang merosakkan tanaman.
Churu di negeri Rajasthan mencatatkan suhu 50C – tertinggi di India.
Orang ramai diminta terus berada di dalam rumah.
Suhu ini adalah yang paling tinggi yang pernah direkodkan India dalam beberapa dekad.
Malah, laman web penjejak cuaca global El Dorado menyatakan wilayah itu adalah yang paling panas di dunia pada hari Selasa.
Pihak kaji cuaca memaklumkan kepada media tempatan bahawa sebahagian daripada gelombang panas ini akibat Taufan Amphan – yang melanda bahagian timur India dan Bangladesh pada minggu lalu.
“Taufan Amphan menyedut semua kelembapan dari bahagian lain di negara ini,” kata Kuldeep Shrivastava, Ketua Pusat Ramalan Cuaca kepada akhbar Hindustan Times. – MalaysiaGazette