Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantung semua aktiviti berkaitan dengan pengeluaran, perniagaan dan penjualan minuman beralkohol di negara ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, penggantungan itu dicadangkan sehingga satu jawatankuasa khas Kabinet dibentuk bagi menangani kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

“Pas mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk.

“Dalam tempoh penggantungan itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga perlu menubuh Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian untuk bertindak segera tangani kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, melalui cadangan itu, Pas meminta Jabatan Kastam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka di semua rangkaian kedai serbaneka 24 jam.

“Pas memandang serius kes kemalangan mati membabitkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

“Nyawa orang awam adalah satu keutamaan yang harus difikirkan oleh kerajaan secara serius.

“Ini kerana ia telah menjadi penyumbang kepada punca pertambahan kemalangan khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya,” katanya.

Katanya lagi, tragedi pemandu mabuk bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh.

“Kesalahan ini berpunca daripada kelemahan perundangan sedia ada dan penguatkuasaan, selain dari sifat pentingkan diri dan degil pemabuk.

“Lebih malang menjadi seorang pembunuh bila mana telah menggadaikan jiwa yang tidak bersalah,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu memandang serius statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meletakkan Malaysia di tempat ke-10 di dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia.

“Statistik yang dikeluarkan WHO menunjukkan rakyat malaysia membelanjakan lebih dari RM2 bilion untuk minuman beralkohol dengan purata 15 liter per kapita pada 2016.

“Pengambilan bir di Malaysia berada pada tahap membimbangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Memang pada tahap membimbangkan dan ternyata memudaratkan orang lain yang tidak bersalah. Jika rakyat non-muslim memerlukannya tidak ada masalah untuk minum di rumah sendiri walaupun hingga 2..3 kontena sekalipun. Duduk diam di rumah, jangan keluar memadu ke sana ke sini…risiko kpd nyawa orang awam di luar sana.

Comments are closed.