Dr Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Pembangkang yang mahu mencabar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) diminta melupakan hasrat tersebut pada 4 Julai ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ini kerana mereka sukar merampas DUN itu dan suasana berkempen kelak menganggu usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Tindakan mereka memberi laluan kepada calon yang mewakili gabungan parti yang sedang menerajui kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Malaysia, pasti akan dilihat oleh semua pihak sebagai tindakan politik matang dan sihat.

“Parti politik dan individu yang berminat untuk meletakkan calon di PRK tersebut perlu mempertimbangkan.

“Kempen-kempen semasa PRK seperti ceramah dan lawatan rumah ke rumah boleh meningkatkan risiko penyebaran wabak Covid-19,” ujarnya yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat itu dalam satu kenyataan semalam.

Lagi pun, kata Zuhdi, perbelanjaan bagi proses PRK oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti dan calon individu yang bertanding lebih baik disumbangkan untuk pemulihan ekonomi kesan wabak Covid-19.

“Kekosongan kerusi DUN Chini adalah disebabkan kematian penyandangnya sebelum ini, bukan dikosongkan secara sengaja seperti yang pernah berlaku dalam PRK Port Dickson tahun 2018 yang lalu.

“Sekiranya dikosongkan secara sengaja, mungkin ia boleh dijadikan sebagai alasan untuk meletakkan calon bagi menyaingi calon parti yang mengosongkan kerusi tersebut, sekali gus memberi pengajaran kepada parti yang tidak bertanggungjawab seperti itu,” katanya.

Sehubungan itu, Zuhdi berharap mana-mana parti dan individu yang berhasrat meletakkan calon bertanding pada PRK DUN Chini dapat mempertimbangkan saranannya sebagai menggambarkan solidariti bersama kerajaan dan rakyat yang sedang bergelut menghadapi Covid-19.

Pas juga difahamkan tidak meletakkan calon kali ini dan memberi laluan kepada BN atas dasar Muafakat Nasional.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

BN dijangka menang besar di PRK DUN Chini

1 Komen

  1. Tepat sekali nasihat ini utk PH tidak bertanding dimana Spr dpt menjimatkan duit rakyat. Jk Lid meroyan mendesak bertanding Hanya utk kalah Dan membazirkan duit kerajaan maka muka jiwa natang Ni penuh kerosakan jk mahu buat tunjuk kebaikan gunakanlah peruntukan PH memberi bantuan makanan kpd penduduk Chini dimana itu lebih tepat Dan berfaedah. Tolonglah jgn PH Masuk tanding utk kalah krn kamu cuma peruntukan antara 20k tp kerajaan akan membelanjakan hampir 1 juta. Nk sgt bertanding tunggulah DUN Rawang dikosongkan oleh PH utk laluan abam non mencuba jadi Embey Solango..

Comments are closed.